PADA bulan Oktober ini, penangguhan pembayaran pinjaman perumahan dan sewa beli kenderaan, atau lebih dikenali sebagai moratorium, yang dinikmati sejak bulan April 2020 akan tamat.
Walaupun kerajaan memberikan peluang melanjutkan penangguhan pembayaran pinjaman selama tiga bulan lagi bagi mereka yang kehilangan kerja dan dikenakan cuti tanpa gaji serta dipotong gaji, mereka yang layak perlu memohon sendiri sebelum tarikh akhir moratorium agar bank dapat menguruskan permohonan dengan sempurna.
Selepas enam bulan menikmati lebihan wang tunai dalam akaun dan berasa diri lebih kaya sedikit berbanding sebelum moratorium, kita akan kembali ke alam realiti, di mana rupanya kita ada tanggungan hutang untuk dilunaskan, rumah yang dihuni dan kenderaan yang kita pandu setiap hari.
Kedua-dua hutang tersebut adalah hutang yang ‘memakan’ sekurang-kurangnya satu pertiga daripada gaji bulanan kita, yang menjadi komitmen yang sering menyesakkan nafas setiap bulan.
Selaras dengan objektif kerajaan memperkenalkan moratorium untuk meringankan bebanan kewangan yang ditanggung rakyat dan peniaga, lebihan wang hasil moratorium dilihat berjaya merangsang kembali urus niaga terutamanya secara digital atau dalam talian.
Rakyat yang sebelum ini pendapatan mereka terjejas akibat penutupan premis perniagaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan kini kembali mempunyai wang tunai untuk berbelanja dan para peniaga mula beralih ke platform dalam talian untuk mempromosikan produk mereka.
Lebihan wang
Tinjauan oleh Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mendapati pada bulan April sahaja berlaku peningkatan luar biasa aktiviti jual beli dalam talian sebanyak 28.9 peratus.
Aktiviti jual beli dalam talian sememangnya sudah mendapat tempat dalam kalangan pengguna di negara ini. Nama-nama pemain pasaran di platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, Grab, Foodpanda di samping peniaga-peniaga kecil yang bertapak di Facebook dan Instagram sudah sebati dengan gaya hidup terkini rakyat Malaysia.
Maka tidak hairanlah apabila mereka mempunyai lebihan wang tunai hasil pelaksanaan moratorium, keinginan untuk berbelanja menjadi lebih kuat berbanding sebelum ini.
Manakan tidak, tiba-tiba dalam akaun bank masing-masing ada sekurang-kurangnya RM1,000 lebihan duit gaji. Tiba-tiba tapak tangan terasa gatal untuk melayari platform e-dagang, sekadar browsing dan add to cart, bak kata Mak Cik Kiah.
Bukan sekadar aktiviti jual beli dalam talian yang mengalami peningkatan mendadak. Sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan diumumkan bermula 10 Jun dan aktiviti rentas negeri dibenarkan, pada 7 Jun iaitu pada hari Perdana Menteri membuat pengumuman berkenaan, hotel-hotel di Langkawi telah menerima 1,000 tempahan daripada pelancong domestik.
Tidak kurang ramai yang mengambil kesempatan membeli kereta baharu kerana harga kereta menjadi lebih murah setelah kerajaan mengumumkan pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus bagi kenderaan import sepenuhnya (CBU).
Namun apakah kesannya kepada rakyat apabila tempoh moratorium tamat nanti? Sudah pasti mereka yang mempunyai pinjaman perumahan perlu membayar balik pinjaman seperti biasa, mungkin dengan jumlah yang kurang kerana base lending rate (BLR) yang rendah berbanding sebelum penangguhan pembayaran pinjaman dilaksanakan.
Begitu juga dengan pinjaman sewa beli kenderaan, ia perlu dibayar semula seperti biasa.
Persoalannya, berapa banyak yang sudah kita simpan selama pelaksanaan moratorium ini?
Adakah kita mengambil peluang ini untuk menjana pendapatan dengan membuka perniagaan dalam talian atau melabur untuk bekalan masa depan?
Bagaimana pula dengan aktiviti jual beli dalam talian, adakah akan terus berkembang pesat atau pegun pada tahap sekarang kerana kita baru teringat untuk berjimat?
* Taufik Asmady Abdul Aziz ialah Ketua Unit FWOD Sinar Harian Online