PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tetap meneruskan saingan Piala Presiden biarpun Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan penangguhan Piala Thomas dan Piala Uber 2020 semalam.
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kejohanan berkenaan akan dijadikan platform dalam usaha mengekalkan daya saing dalam kalangan barisan pemain negara yang telah berlatih bagi mengharungi Piala Thomas dan Piala Uber 2020.
Menurutnya, penganjuran Piala Presiden juga penting bagi memastikan setiap pemain kekal kompetitif selepas tidak beraksi dalam kejohanan antarabangsa untuk tempoh masa yang lama susulan pandemik Covid-19.
"Di sebalik penangguhan Piala Thomas dan Piala Uber tahun, BAM akan teruskan program yang sudah diatur bermula dengan Piala Presiden yang melibatkan pemain skuad Piala Thomas dan Uber negara mulai esok (hari ini).
"Kita juga ada perancangan untuk Olimpik (Tokyo 2020) yang juga ditangguhkan tahun depan. Selain itu, saya berharap pemain-pemain kita bersedia untuk proses kelayakan (Olimpik) yang dijangka bermula Januari tahun depan.
"Apa pun, BAM akur dengan keputusan BWF untuk menangguhkan Piala Thomas dan Piala Uber tahun ini kerana banyak negara telah membatalkan penyertaan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Terdahulu, BWF dalam satu kenyataan media mengumumkan kejohanan berpasukan lelaki dan wanita itu ditangguhkan berikutan perkembangan terkini pandemik Covid-19 sehingga menyaksikan banyak negara membatalkan penyertaan.
Pada masa sama, Mohamad Norza juga berharap pemain-pemain negara bersedia jika badan induk badminton dunia itu menganjurkan kejohanan bersifat Asian Bubble atau Sirkit Asia kelak.
"Sekarang ini mereka (BWF) melakukan Sirkit Eropah, namun kita juga akan bersedia untuk Sirkit Asia yang mungkin akan diadakan pada November atau Disember nanti,” ujarnya.