LABUAN - Rancangan Kementerian Pendidikan meminda Akta Pendidikan 1996 bagi menjadikan tanggungjawab ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah sehingga ke peringkat menengah sebagai mandatori, dilihat oleh seorang aktivis sosial sebagai kena pada masanya.
Tan Sri Lee Lam Thye berkata langkah itu amat banyak membantu terutama buat kanak-kanak, untuk memperoleh peluang yang saksama dalam pendidikan.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun beliau mencadangkan supaya kementerian perlu terlebih dahulu menampilkan satu mekanisma bagi membantu para ibu bapa, khususnya yang berpendapatan rendah bagi membolehkan mereka menunaikan kewajipan itu.
"Ia langkah yang baik, bagaimanapun kita perlu melihat terlebih dahulu keadaan kewangan ibu bapa,” katanya dalam persidangan media selepas menutup Seminar Mengenai Pengurusan Kesihatan dan Keselamatan pekerjaan di sini hari ini.
"Kekangan kewangan sentiasa menjadi faktor para ibu bapa tidak dapat menghantar anak-anak ke sekolah, disebabkan tidak cukup untuk bayar tambang bas sekolah, makanan harian dan lain-lain keperluan sekolah, untuk itu kerajaan mungkin perlu mewujudkan skim kewangan, mungkin satu dana khas bagi membantu para ibu bapa yang berkaitan,” tambahnya.
Lam Thye berkata pihak kementerian juga perlu mengadakan dialog dengan para ibu bapa menerusi Persatuan Ibu dan Bapa untuk mendengar segala keluhan dan kesulitan yang timbul susulan daripada keputusan Kementerian itu sekiranya dimuktamadkan.
"Difahamkan ibu bapa yang engkar boleh didenda sehingga RM5,000 dan enam bulan penjara atau kedua-duanya, di bawah Seksyen 29A (2) Akta Pendidikan 1996,” katanya sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Yeo Nie Ching hari ini, yang mengatakan pihak kementerian masih sedang mengkaji cadangan itu. - Bernama