KUALA LUMPUR - Sebuah pusat hiburan di Jalan Ipoh dan rumah urut di Kepong di sini diarah tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi tindakan khas zon utara yang dijalankan awal pagi ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, premis hiburan tersebut didapati beroperasi menggunakan lesen premis serta hiburan yang telah tamat tempoh.
Menurutnya, sementara premis urut yang diperiksa diarah tutup dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran.
"Premis pertama diambil tindakan di bawah Seksyen 17(1) Akta Hiburan 1992, sementara rumah urut dikenakan tindakan di bawah Sek 101(1) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
"DBKL turut menyita beberapa barangan di rumah urut antaranya LED board, monitor dan dekoder," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, operasi yang dilaksanakan bermula jam 12 malam dan berakhir jam 4 pagi itu turut menjalankan pemantauan di Pasar Borong Kuala Lumpur bagi memastikan tiada warga asing menjalankan aktiviti sebagai penolak barangan.