JOHOR BAHRU - Seorang pengawal keselamatan maut ketika bertugas selepas pondok pengawal keselamatan dihempap sebatang pokok dalam kejadian ribut di Jalan Persona 1, Taman Pelangi Indah di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada jam 3.44 pagi, Amir Muhammad, warganegara Pakistan yang berusia lingkungan 40-an cedera parah dan pondok keselamatan tersebut roboh.
Seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau dibantu sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Ketua Operasinya, Penolong Bomba Kanan II Jasni Saidin berkata, pihaknya bertindak memotong pokok berkenaan bagi membolehkan mangsa dikeluarkan.
"Kita menggunakan peralatan khas iaitu chainsaw dan mengeluarkan mangsa dengan menggunakan ResQtek airbag.
Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Pegawai Perubatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini dan operasi ditamatkan pada jam 5.16 pagi.