'Tak dapat jawatan antara faktor krisis parti'

Iklan
Zamzuri (tengah) bersama sebahagian ahli Bersatu Melaka menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Pak Wan.

MELAKA TENGAH -"Tidak dapat memegang jawatanlah antara faktor berlaku krisis dalam parti hingga wujud unsur fitnah yang berniat jahat, dengan menyatakan ada undi tidak percaya, terhadap Pak Wan,” kata Setiausaha Bersatu Melaka, Zamzuri Ariffin.

Zamzuri bersama kira-kira 100 orang ahli Bersatu Melaka menafikan wujud undi tidak percaya terhadap Ketua Bahagian Pimpinan negeri yang juga Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof ketika sidang media di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika mesyuarat itu dijalankan Jumaat lalu, tidak wujud usul mengenai undi tidak percaya yang dibuat ketua-ketua bahagian negeri terhadap individu yang mesra dipanggil Pak Wan, biarpun mengakui mesyuarat itu terhenti kira-kira 15 minit bagi membincangkan permasalahan parti.

"Majoriti ahli mesyuarat menyokong kepimpinan Pak Wan dan apa yang dianggap sebagai undi tidak percaya adalah tidak benar dan juga tidak mengikut peraturan parti,” katanya.

Iklan
Zamzuri menunjukkan laporan portal berita yang mendakwa fitnah dan berniat jahat ketika sidang media berkenaan.

Malah katanya, ‘kumpulan’ minoriti yang menentang Pak Wan didakwa mempunyai masalah disiplin apabila tidak hadir mesyuarat melebihi tiga kali berturut-turut tanpa sebab dan seharusnya tindakan tegas kepada mereka yang bermasalah itu perlu diambil.

"Kami akan terus memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Pak Wan yang juga orang yang mula-mula menggerakkan Bersatu Melaka dan memimpin parti dengan cemerlang serta berintegriti tinggi.

Iklan

"Harap pucuk pimpinan Bersatu peringkat nasional mengambil tindakan segera dengan bertindak tegas menukarkan mereka yang bermasalah kepada pemimpin lain yang lebih bertanggungjawab demi kelangsungan parti ini,” katanya.

Terdahulu, sidang media bekenaan turut dihadiri Ketua Bahagian Bersatu Jasin, Anuar Md Seh; Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu, Hamidi Harun dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Kota Melaka, Aidil Jamalm.

Sebelum ini, sebuah portal berita menyiarkan berlaku tekanan memuncak terhadap pengerusi Bersatu Melaka apabila mendapat undi tidak percaya dari ketua bahagian parti berkenaan pada satu mesyuarat parti yang diadakan Jumaat lalu.