JIKA dilihat di atas peta, Malaysia hanyalah sebuah negara kecil dengan populasi 32 juta penduduk. Namun sejak merdeka 63 tahun lalu, Malaysia telah acapkali membuktikan kehebatan di persada dunia apabila melahirkan ramai tokoh berkaliber dalam pelbagai bidang.
Selain kisah kejayaan rakyatnya, Malaysia juga boleh berbangga dengan produk dan jenama tempatan yang bukan sahaja berjaya di pasaran lokal malah mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Jenama seperti Munchy, British India, Mamee, Brahim's, PappaRich, Secret Recipe, Bonia dan banyak lagi antara produk Malaysia yang telah membina nama di pasaran global.
Bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia kali ini, Sinar Harian mendalami kisah kejayaan produk tempatan yang menjadi kebanggaan kita.
Bermula dari Melaka ke seluruh Malaysia, jenama makanan ringan Mamee kini berada di pasaran 80 buah negara.
Menurut Penolong Pengarah Hal Ehwal Islam dan Hubungan Kerajaan Mamee, Ahmad Syukry Ibrahim, sejak penubuhan syarikat itu pada tahun 1971 hingga kini, Mamee telah menghasilkan lebih 200 jenis produk yang terdiri daripada segmen makanan ringan, biskut dan minuman kesihatan seperti minuman susu kultur dan yogurt.
"Produk-produk Mamee dieksport ke lebih 80 buah negara dan antara pasaran utama adalah di Australia, Timur Tengah, Eropah, Amerika Selatan dan Asia,” ujar Ahmad Syukry dalam temu ramah bersama Sinar Harian baru-baru ini.
Beliau menambah, Mamee kini masih mengekalkan pengurusan sedia ada dan ia lebih bertenaga dengan penglibatan generasi ketiga keluarga pengasasnya, Datuk Pang Chin Hin yang kini berusia 92 tahun.
"Hasil usaha dan kerja keras, Mamee berjaya meraih keuntungan bersih sekitar RM55 ke RM60 juta setahun dan menyasarkan kenaikan keuntungan bersih menerusi pendapatan kasar syarikat sebanyak RM1 bilion pada tahun hadapan.
"Pencapaian membanggakan Mamee tidak datang dengan mudah apabila berdepan pelbagai cabaran sejak awal penubuhannya di Melaka,” kata Syukry yang telah berkhidmat hampir 20 tahun di Mamee.
Jaga kualiti
Syukry berkata, sebagai sebuah syarikat tempatan, Mamee mengutamakan cita rasa tempatan dalam penghasilan produk-produk keluarannya, namun pada masa sama turut menghasilkan cita rasa antarabangsa mengikut perkembangan semasa pasaran.
Ditanya bagaimana Mamee bersaing dengan jenama makanan ringan lain di pasaran luar negara, Syukry berkata, kejayaan Mamee adalah kerana sentiasa mementingkan kualiti, cita rasa dan standard produk baik di Malaysia atau luar negara.
"Apabila pihak luar melihat produk Mamee memenuhi standard antarabangsa seperti ISO, GMP, GHP dan HACCP serta ditambah dengan Pensijilan Halal Malaysia, mereka yakin ia adalah produk yang berkualiti, suci dan selamat untuk dimakan.
"Cita rasa produk juga harus dipastikan bersesuaian dengan kehendak pelanggan untuk pasaran luar negara yang disasarkan,” katanya lagi sambil menambah pensijilan halal juga menjadi salah satu faktor yang penting untuk menarik keyakinan pembeli.
Katanya lagi, aspek-aspek dalam strategi pemasaran juga penting dalam memastikan sesuatu jenama itu kukuh terlebih dahulu di pasaran tempatan sebelum meraih kepercayaan pelabur luar.
Satu lagi jenama terkemuka yang telah ‘sebati’ dengan rakyat Malaysia, tidak lain tidak bukan ialah pasar raya tempatan, Mydin.
Mydin telah menjadi gedung kepada ribuan jenama produk tempatan untuk dipasarkan kepada pelanggan.
Memiliki 68 cawangan di seluruh negara, Mydin percaya memberi keutamaan kepada produk tempatan berbanding produk luar merupakan satu cara terbaik untuk menyokong produk buatan Malaysia.
Sokong barang lokal Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, Malaysia harus mencontohi Jepun dan Korea Selatan yang lebih mengutamakan barangan buatan sendiri berbanding produk asing.
"Kalau kita sendiri tidak percaya dan menyokong produk tempatan bagaimana orang lain mahu percaya,” ujar beliau kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, rakyat seharusnya bersikap nasionalistik dan berbangga apabila menggunakan barang buatan Malaysia bagi menarik minat orang luar membeli produk tempatan.
"Kualiti barangan Malaysia setara dengan produk luar, namun kelemahan aspek penjenamaan perlu diperbaiki untuk lebih berdaya saing,” ujar Ameer.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan terdapat lebih 1,000 pembekal tempatan yang menjual produk-produk mereka di 68 cawangan Mydin di seluruh negara.
"Mydin merupakan pasar raya tempatan yang menjual dan mempromosi produk-produk tempatan menerusi pelbagai kempen antaranya OHMYDIN! yang menyediakan platform untuk produk Malaysia termasuk produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya lagi.