Enam tahun terpaksa hidu bau busuk

Iklan
Sebahagian penduduk menutup hidung kerana tidak tahan bau busuk.
KUANTAN – Bau busuk dan jijik menjejaskan kehidupan seharian kira-kira 100 penduduk di perumahan Jalan Haji Ahmad 6, di sini, sejak enam tahun lalu.

Lebih teruk apabila musim hujan, sehingga ada yang berdepan masalah kesihatan dan hilang selera makan.

Adun Teruntum, Sim Chon Siang berkata, bau itu dipercayai datangnya dari longkang besar berdekatan perumahan tersebut dan loji kumbahan yang terletak kurang 100 meter dari kawasan perumahan.

"Banjir besar kilat pernah berlaku pada 2013 di kawasan ini menyebabkan seluruh persekitaran penduduk di sini terjejas. Selepas terjejas itulah mula keluar bau yang dipercayai datangnya dari longkang dan loji terdekat.

"Kumbahan di loji tersebut adalah dari bangunan, hotel dan premis perniagaan di kawasan ini dan berada di bawah pengurusan sebuah syarikat pemaju.

"Cadangan saya adalah tambah penggunaan bakteria activated sludge untuk mencegah bau dan pihak penyelenggaraan juga diminta pantau sehingga tiada lagi bau busuk seperti ini. Fungsi sludge itu akan makan najis atau kekotoran yang jadi punca bau dalam loji tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siang media bersama kira-kira 20 penduduk di Jalan Haji Ahmad 6, di sini, hari ini. Hadir sama, wakil pengurusan dari syarikat pemaju kawasan tersebut.

Chon Siang berkata, beliau akan menulis surat rasmi kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Pahang untuk memaklumkan berkenaan masalah longkang tersebut.

Seorang penduduk dari Flat Taman Anda, Maizatul Malisa Mokhtar, 33, berkata, bau itu bukan sahaja boleh dihidu oleh penduduk kawasan perumahan teres sebaliknya dari tingkat paling atas rumah flat itu.

"Dah lebih enam tahun keadaan berlarutan. Penduduk pernah beri aduan tetapi bau masih muncul. Paling teruk ialah selepas hujan. Baju macam najis dan menyakitkan rongga hidung. Kadang kala bau kekal sepanjang hari menyebabkan boleh loya dan muntah,” katanya.

Begitu juga dengan warga emas, Tay Soo Guan, 64, yang mengakui selalu sakit kepala apabila terhidu bau busuk daripada longkang dan loji tersebut.

Beliau meminta pihak bertanggungjawab mengambil serius aduan tersebut kerana penduduk sudah bermastautin selama 30 tahun dan bau kuat seperti itu menjejaskan aktiviti harian.

"Kadang-kadang bau hilang tapi selalunya akan datang semula apabila senja. Tutup pintu tingkap rumah pun bau masih kuat. Tak boleh tidur,” katanya.

Salmah Mohd, 56, pula berkata, beliau malu dengan saudara-mara yang datang bertandang ke kediamannya di Flat Taman Anda kerana bau tersebut sangat mengganggu.

"Kalau saudara datang terpaksa beritahu bau ni dari mana. Memang tak selesa. Saya harap pihak bertanggungjawab dan wakil rakyat akan bantu secepat mungkin kerana kami dah tak tahan dengan gangguan bau ini,” katanya.

Warga emas, Ang Lee Hwa, 60, mengakui sering mengalami sesak nafas.

"Kalau angin kuat selepas hujan, bau lagi kuat. Cuaca tak hujan pun kita boleh bau busuk, apatah lagi selepas hujan," katanya.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi juga mendapati bau semakin kuat dan menjejaskan aktiviti harian penduduk.