PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 10,040 liter minyak pelincir tiruan dalam satu operasi di Taman Industri, Subang Jaya hari ini.
Pengarah Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim berkata, operasi dijalankan hasil aduan daripada pemilik cap dagang berdaftar Shell serta risikan yang dijalankan hampir dua minggu di sebuah gudang yang dijadikan tempat pembuatan minyak pelincir tiruan.
"Hasil pemeriksaan yang dijalankan bersama wakil pemilik cap dagang Shell mendapati terdapat pelbagai jenis minyak pelincir seperti transformer oil, compressor oil, truck & heavy duty engine oil, greese, dan slideways oil untuk kegunaan kenderaan berat dalam anggaran keseluruhan berjumlah 10,040 liter.
"Pemilik premis disyaki memiliki suatu artikel salinan cap dagangan berdaftar atau tanda yang mungkin menyebabkan kesilapan bagi cap dagangan berdaftar tersebut.
"Terdapat set komputer yang disambungkan dengan mesin pencetak disyaki telah digunakan untuk menghasilkan tanda cap dagangan berdaftar selain label serta penutup tong cap dagang Shell turut dijumpai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua lelaki berusia 34 dan 53 tahun turut ditahan manakala semua barang rampasan bernilai kira-kira RM111,300 disita dalam operasi berkenaan.
"Berdasarkan keterangan lisan daripada pengurus premis, minyak pelincir dari tong drum berkapasiti 200 liter dipindahkan secara manual ke dalam tong berkapasiti 20 liter untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang yang dijual dalam lingkungan harga RM185 hingga RM240," katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 101(b) Akta Cap Dagangan 2019 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
"Kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 5(a) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 jika sabit kesalahan manakala denda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.
"Pemeriksaan dan operasi di seluruh negara akan dijalankan berterusan ke atas aktiviti-aktiviti yang menjalankan urus niaga barang tiruan," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyimpanan dan penjualan barang tiruan boleh menyalurkan maklumat melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir sendiri di mana-mana pejabat KPDNHEP berhampiran.