Tiada calon bebas daripada UMNO pada PRU15

Iklan
Ahmad Jazlan (dua dari kanan) ditemui pada pogram Kayuhan Merdeka Fun Ride Parlimen Machang 2020 di Pejabat Tanah Daerah Machang hari ini.

MACHANG - UMNO Kelantan yakin tidak ada pemimpinnya yang akan bertindak menjadi calon bebas jika tidak diberikan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Wira Ahmad Jazlan Yaakub berkata, beliau secara peribadinya yakin perkara tersebut tidak akan berlaku memandangkan keadaan terkini jauh berbeza dengan sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Saya tidak fikir pemimpin UMNO di Kelantan akan jadi calon bebas pada PRU akan datang. Apa yang saya lihat dan mereka yang saya jumpa seluruhnya cukup berbeza dengan yang lepas. Tidak ada seorang pun pemimpin kita yang datang jumpa saya merayu-rayu untuk minta jadi calon dan sebagainya.

"Bercakap mengenai prestasi ahli Parlimen di Kelantan, memang saya berpuas hati dengan kerja yang mereka buat dan sebagainya.

Iklan

"Namun kenyataan saya ini tidak akan memberi gambaran bahawa mana-mana mereka yang memegang jawatan kini akan kembali menjadi calon, ini kuasa mutlak Presiden parti untuk putuskannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Jazlan hadir pogram Kayuhan Merdeka Fun Ride Parlimen Machang 2020 dengan penyertaan 250 orang wakil agensi kerajaan melibatkan kayuhan sejauh 24 kilometer bermula di Pejabat Tanah Daerah Machang dan berakhir di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Machang, di sini.

Iklan

Mengulas mengenai isu pembahagian kerusi untuk pilihan raya akan datang, Ahmad Jazlan memberitahu, kemungkinan ahli dan penyokong akan kecewa apabila ada di antara kawasan mereka tidak diletakkan calon daripada BN atau UMNO.

"Semua pihak perlu berkorban. Jangan disebabkan kita jadi kerajaan kini kita jadi lupa diri. Ingatlah sebelum ini kita jadi pembangkang, janganlah cepat lupa daratan sebab rakyat sedang memerhatikan kita dan boleh hukum kita.

"Apa yang penting, saya katakan sekali lagi, UMNO kelantan konsisten dalam soal kerusi yang akan diagihkan dalam PRU ini. Untuk Kelantan, kita serahkan kepada pucuk pimpinan dan apa yang diputuskan mereka itu akan kita terima sebaiknya.

"Kalau mahu dikira keadilan, semua pihak akan minta lebih. Tapi apa yang patut kita dapat, kita terima seadanya dan apa yang patut mereka dapat, kita mesti hormati," katanya.