RANTAU PANJANG - Taktik menggunakan kad pengenalan warga tempatan menjadi modus operandi terbaharu pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand bagi membolehkan mereka bergerak bebas di negara ini seterusnya mengelakkan diri daripada dicekup anggota penguat kuasa.
Bagaimanapun, taktik itu berjaya dihidu oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan selepas menahan tiga PATI warga Thailand yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira di Sekat Pintas Guchi, di sini pada malam kelmarin.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota yang sedang membuat rondaan rutin telah melakukan intipan di kawasan pangkalan haram Sotar, Bakong pada jam 7.30 malam.
"Semasa intipan dilakukan, anggota PGA Batalion 7 telah ternampak dua wanita yang sedang menaiki perahu menyeberangi Sungai Golok dari negara jiran dipercayai untuk masuk ke negara ini secara tidak sah," katanya.
Menurutnya, sejurus tiba di kawasan tebing sebelah Malaysia, wanita itu terus menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipercayai sedang menunggu kedua-dua suspek.
Katanya, anggota PGA Batalion 7 terus mengekori rapat dan kemudian berjaya menahan kenderaan itu di Sekat Pintas Guchi.
"Anggota PGA Batalion 7 kemudian telah meminta pemandu dan dua penumpang mempamerkan butir pengenalan diri. Pemandu kenderaan tersebut telah menyerahkan kad pengenalan dan lesen memandu begitu juga dengan salah seorang penumpang turut mengemukakan dokumen sebagai warga tempatan.
"Sementara, seorang lagi telah mengemukakan pasport sebagai warga negara Thailand," katanya.
Azhari berkata, hasil siasatan dan pemeriksaan lanjut mendapati semua dokumen yang dikemukakan oleh ketiga-tiga suspek bukan milik mereka.
"Kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan dan siasatan lanjut.
"Kes disiasat bawah Seksyen 28 A Kanun Tatacara Jenayah," katanya.