TANJONG KARANG - UMNO Selangor mengecam tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung elaun petugas masjid dan surau di negeri ini yang dipotong kemudian ditetapkan pada kadar asal selepas mendapat kecaman dan tular di media sosial.
Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau kesal dengan tindakan Amirudin yang sepatutnya meneruskan elaun pada kadar sedia ada tanpa ada pemotongan seperti diumumkan sebelum ini.
Menurutnya, sikap Amirudin yang membuat pusingan U menggambarkan beliau tidak mengambil berat soal kepentingan rakyat termasuk isu elaun petugas masjid dan surau di negeri ini.
"Bagaimana menteri besar tidak mengambil berat terhadap dasar yang dibuat oleh kerajaan negeri atau pun agensi di bawahnya?
"Perkara ini melibatkan dasar kerana setiap dasar yang ingin dibentangkan mesti rujuk dengan menteri besar atau kerajaan negeri terlebih dahulu, tetapi saya percaya mereka (agensi berkaitan) sudah merujuk, tetapi mungkin menteri besar tidak faham apa yang pegawai bincangkan.
"Sekarang ini, menteri besar hendak buat pusingan U pula iaitu kekalkan elaun lama setelah mendapat kecaman netizen, sedangkan perkara ini (pemotongan elaun) sepatutnya tidak berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Program Berkayak Hari Malaysia Kasihi Sungai Kita di Pekarangan Pasti Sungai Kajang, Tanjong Karang di sini hari ini.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, beberapa tindakan Amirudin turut dipersoal terutama dalam soal perobohan kilang haram beroperasi di negeri ini yang menyebabkan pencemaran Sungai Selangor.
"Misalnya, menteri besar hendak tunggu hujung tahun ini baru tindakan diambil hingga menerima teguran daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang meminta tindakan segera diambil terhadap kilang-kilang haram tersebut.
"Saya ingin bertanya kepada Amirudin, sampai bila tindakan perobohan kilang haram ini hendak dilakukan? Adakah hujung tahun 2030 baru hendak dirobohkan?" soalnya.
Justeru, katanya, rakyat di negeri ini diminta bersama-sama memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak lagi mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Ayuh rakyat Selangor kita bangkit bersama (menumbangkan kerajaan PH) sekiranya masih lagi kekal dengan dasar meroboh gerai dan rumah penduduk tanpa belas kasihan.
"Sudah sampai masa kita robohkan kerajaan PH kerana inilah perangai sebenar kerajaan PH.
"Sebab itu, PH runtuh, hancur, roboh terbakar di peringkat kerajaan Persekutuan kerana mereka tidak tahu memerintah dan tidak menunaikan janji," katanya.
Sebelum ini, kadar elaun petugas masjid dan surau di Selangor dikurangkan akibat penurunan kutipan zakat, namun dikembalikan semula kepada kadar sebelum ini.
Pada 10 September lalu, surat rasmi dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tular mengenai pengurangan elaun membabitkan nazir dan timbalannya, setiausaha, bendahari, bilal serta siak daripada keseluruhan RM1,430 kepada RM880 bermula Mei lalu.