KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) Sabah berikrar akan menunaikan Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ditawarkan kepada rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Aku Janji itu akan ditunaikan 100 peratus dalam tempoh pemerintahan sekiranya gabungan itu berjaya menubuhkan kerajaan selepas 26 September nanti.
"Aku Janji ini ditawarkan selepas kita melihat normal baharu politik Sabah di mana kita melihat rakyat ‘menderita’ di bawah pemerintahan Warisan Plus.
"Kita tidak mahu berkata Aku Janji ini ditunaikan dalam setahun atau dua tahun, namun yang pasti kita akan tunaikan 100 peratus untuk rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Aku Janji GRS di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN Muhyiddin lancar Aku Janji GRS
Jawatan Ketua Menteri Sabah ditentukan selepas keputusan PRN
Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, Aku Janji itu memfokuskan kepada ekonomi, prasarana, perkhidmatan awam, kesihatan dan kesejahteraan, pendidikan dan modal insan, keselamatan, belia dan pembangunan wanita.
"Apa yang paling penting adalah memastikan ekonomi Sabah dipertingkatkan dan kebajikan rakyat Sabah sentiasa terpelihara dalam Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Kita juga akan membuka satu sektor iaitu Petroleum di mana Sabah perlu mewujudkan satu jawatankuasa khas dan membuka dana untuk memastikan ia dapat dinikmati oleh rakyat negeri ini,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Gabungan Rakyat Sabah satukan BN, PN, PBS