BANGSAR - Seorang warga emas dari Kuantan Pahang yang datang bermalam di rumah anaknya di Kuarters KTMB Jalan Lengkok Abdullah berdepan detik cemas apabila kediaman itu terbakar pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 itu, 10 buah rumah terbakar melibatkan 30 orang penghuni musnah terbakar.
Dalam masa sama, turut musnah enam motosikal dan 11 kereta sekaligus.
Zauyah Mahmud, 55, berkata, ketika kejadian dia hanya tinggal berdua bersama menantunya manakala anak lelakinya telah keluar bekerja.
"Masa tu mak cik sedang baring di ruang tamu, nampak asap hitam berkepul-kepul masuk rumah dan rasa bahang.
"Mak cik terus bangkit, kemudian nampak api dari celah dinding. Tak sempat nak buat apa, cuma dapat kejutkan menantu dan lari keluar rumah selamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian.
Zauyah berkata, kediaman anaknya musnah sepenuhnya termasuk dua kereta milik menantu dan anaknya.
"Api merebak cepat, tak ada apa yang dapat diselamatkan, mak cik pun masih terkejut dengan apa yang berlaku ni.
"Masa di kampung tergerak hati nak datang sini, rupanya ini yang akan berlaku, walaupun sedih tapi mak cik bersyukur sebab tak ada yang cedera," katanya.
Seorang lagi mangsa Amirulhakimi Bidin, 20, berkata, semasa kejadian dia sedang bersiap hendak ke tempat kerja.
"Saya keluar rumah dan nampak api dari bahagian kanan deretan rumah, saya masuk semula nak selamatkan barang tapi tak sempat, api merebak sangat cepat," katanya yang telah menetap di rumah berkenaan sejak kecil bersama adik dan emaknya yang bekerja di KTMB.
ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran Kuaters KTMB: Tiada kemalangan jiwa
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hamid Daud berkata, kebakaran melibatkan sebanyak 10 unit rumah kakitangan KTMB.
"Kebakaran melibatkan kuarters KTMB yang diperbuat daripada kayu.
"Keluasan kebakaran 100 meter persegi dan dianggarkan 10 unit rumah terbakar daripada 15 unit rumah," katanya ketika ditemui dilokasi kejadian.
Hamid berkata, bomba terima panggilan pada jam 10.03 pagi dan mengejarkan 60 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, Hang Tuah, Taman Tun, Sentul dan Seputeh ke lokasi kejadian.
"Ketika kejadian, hanya terdapat beberapa orang di dalam kuarters berkenaan, namun kesemuanya berjaya menyelamatkan diri," katanya.
"Kebakaran tersebut juga telah merebak ke sebuah rumah di tingkat tujuh Flat Sri Pahang yang terletak bersebelahan namun berjaya dipadamkan sebelum merebak lebih teruk.
"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba," katanya.