Penjual hidupan eksotik haram diburu

Iklan
kadir

BERIKUTAN kerancakan perniagaan menjual haiwan dilindungi secara terbuka di internet, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mempergiat usaha memburu dalang aktiviti tersebut.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, ia susulan perniagaan secara haram itu dikesan sedang bermaharajela dalam laman sosial Facebook (FB) dan Instagram.

Iklan
Iklan

"Ia untuk memastikan haiwan dilindungi tidak sewenang-wenangnya dijual di pasaran kerana dalam dua hingga tiga tahun ini, Perhilitan mengesan banyak iklan menjual haiwan dilindungi di laman sosial," katanya kepada Wartawan Sinar Siasat.

Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata, selain individu perseorangan yang berani mempromosikan serta menjual haiwan tersebut di FB dan Instagram, aktiviti berkenaan juga dilakukan secara berkumpulan bahkan Perhilitan mengesan terdapat pelajar sekolah yang turut terlibat aktiviti haram itu.

Iklan

"Ada kumpulan menjual haiwan seperti ular dan burung. Ada juga kumpulan yang menjual haiwan besar seperti rusa, beruang dan sebagainya.

"Mereka kebanyakannya menangkap haiwan tersebut dalam hutan, kemudian membuat iklan di laman sosial untuk menjualnya kepada pembeli," katanya.

Iklan

Sehubungan itu kata Abdul Kadir, tahun ini Perhilitan memperkasakan pelbagai usaha menerusi program memerangi Jenayah Siber Hidupan Liar dalam usaha memastikan kegiatan menjual haiwan dilindungi di laman sosial dapat dibendung.

Pada masa kini katanya, walaupun jumlah aktiviti berkenaan dilihat makin berkurangan berikutan penguatkuasaan dilakukan Perhilitan, namun dalang-dalang itu masih bermaharajalela.

"Mereka pantas mengiklankan di media sosial, jadi Perhilitan juga perlu pantas membanteras kegiatan mereka,” katanya.