PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah boleh mula membuka pintu kepada jurulatih tempatan untuk menjawat jawatan pengarah teknikal di badan induk bola sepak negara itu.
Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, tindakan membawa masuk jurulatih dari luar negara seperti sebelum ini dilihat hanya akan menguntungkan jurulatih berkenaan.
Justeru menurut Sathianathan, sudah tiba masanya FAM membuka peluang kepada jurulatih tempatan yang berwibawa untuk menjawat jawatan itu berbanding jurulatih luar seperti sebelum ini.
"Saya perhatikan benda ni dah lama dan bagi saya yang untung dalam perkara ini adalah jurulatih luar berkenaan. Ini kerana dia yang akan ikuti kursus, seminar, simposium dan sebagainya atas nama FAM.
"Mereka ini akan dapat pengalaman dan semua kepakaran hasil daripada menghadiri kesemua kursus berkenaan dan kemudian ia (kepakaran) akan digunakan untuk mendapatkan kerja di tempat lain pula. Kita juga yang rugi.
"Oleh itu bagi saya, kalaulah ada orang tempatan yang lebih berkaliber, ada sijil, ada tauliah dan kelayakan yang sama, takkan tak boleh beri peluang kepada orang kita?” katanya kepada Sinar Harian.
Kelmarin, Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo membuat keputusan tidak menyambung kontraknya yang berakhir hujung tahun ini.
Sementara itu, Sathianathan berkata sebagai seorang pengarah teknikal, seseorang itu perlu memahami sepenuhnya mengenai bola sepak, sama ada di negaranya sendiri mahu pun bola sepak di negara luar.
"Kerja sebagai pengarah teknikal ni hanya satu sahaja, iaitu kena faham bola sepak di negara kita dan juga negara luar.
"Jadi bagi saya kalau ada rakyat atau jurulatih tempatan yang ada kaliber, mereka boleh diberikan peluang menjawat jawatan berkenaan,” katanya.