Bangsa Malaysia perlu dibina segera

Iklan
Teo Kok Seong

SHAH ALAM - Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) serta Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan negara perlu membina bangsa Malaysia dalam usaha melahirkan rakyat berjiwa Malaysia.

Menurutnya, semua pihak bermuhasabah diri dan melihat kembali usaha-usaha membina bangsa Malaysia yang dilihat masih gagal walaupun negara telah meraih kemerdekaan sejak 63 tahun lalu dan 57 tahun penubuhan Malaysia.

Iklan
Iklan

"Secara relatifnya jika dibandingkan dengan beberapa negara di rantau ini yang meraih kemerdekaan sama dengan kita (Malaysia), saya rasa kita tidak ketinggalan kerana memiliki prasarana, sistem pendidikan dan kemudahan kesihatan yang baik.

"Jadi dalam aspek tubuh negara dan bina negara, sememangnya kita boleh dianggap sudah berjaya cuma kita masih gagal dalam membina bangsa Malaysia itu sendiri,” katanya sebagai panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-193 bertajuk Hari Malaysia, hanya sekadar sambutan? yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, di sini.

Iklan

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, untuk membina bangsa Malaysia, maka pelbagai aspek perlu diberi perhatian antaranya termasuklah memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat.

Katanya, bahasa Melayu merupakan bahasa negara dan tidak boleh dipandang enteng kerana ia adalah sebahagian daripada kerakyatan negara ini.

Iklan

"Apa gunanya jika kita yang memegang kerakyatan Malaysia tetapi tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan tidak tahu tentang bahasa negara.

"Jadi perkara ini perlu dipandang serius kerana ia tidak berlaku di tempat lain di dunia di mana rakyat tidak tahu bahasa negara mereka sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Kok Seong berkata, aspek perpaduan dalam kalangan rakyat juga perlu diberi penekanan agar perpaduan dapat memusat dan menjadi lebih rapat serta akrab.

Katanya, apa yang berlaku ketika ini adalah sebaliknya apabila hubungan etnik yang ada di dalam negara kita terutamanya di Semenanjung semakin mencapah dan renggang.

"Begitupun masalah hubungan etnik ini tidak wujud di Sabah dan Sarawak, jadi kita patut belajar daripada mereka.

"Selain itu, aspek intergrasi nasional juga perlu diberi penekanan yang melibatkan hubungan baik melibatkan tiga wilayah besar yang membentuk Malaysia hari ini iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Walau bagaimanapun perkara ini menjadi sedikit bermasalah apabila kita mendengar kenyataan-kenyataan rasmi bahawa mereka mahukan kebebasan yang lebih dalam memerintah negeri masing-masing bahkan ada suara-suara yang mengatakan mereka mahu keluar daripada Malaysia. Jadi perkara ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin,” katanya.