Kerana lipas, restoran diarah tutup

Iklan
Notis penutupan dilekatkan di sebuah restoran mamak kerana didapati kotor.

KUALA LUMPUR - Sebuah restoran beroperasi di Jalan Metro Perdana Timur 3, Kepong, di sini, diarahkan tutup dua minggu kerana beroperasi dalam persekitaran kotor.

Pengarah KPDNHEP WPKL, Ummi Nasrah Othman berkata, dalam operasi bermula jam 12.30 tengah hari, tiga premis diperiksa di sekitar Kepong.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun, salah sebuah premis di bahagian dapur dan stor makanan berada dalam keadaan kotor dan tidak teratur selain menemui banyak lipas.

"Notis penutupan dikeluarkan DBKL terhadap premis tersebut dikeluarkan serta-merta kerana didapati melanggar Undang-Undang Kecil 28(1) Pelesenan Petempatan Makanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016.

Iklan

"Premis itu diarah tutup untuk memastikan ia dibersihkan dalam tempoh ditetapkan. Sekiranya kebersihan itu mencapai tahap terbaik, baru dibenar buka semula," katanya kepada pemberita ketika Ops Bersepadu di premis terbabit, hari ini.

Turut serta operasi terbabit adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Keadaan dapur restoran yang diarah tutup.

Iklan

Selain itu, JAWI turut mengeluarkan notis terhadap premis tersebut mengikut Seksyen 84 Akta Undang-Undang Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan 1993 kerana membuat pungutan khairat untuk madrasah.

Ketua Penguatkuasa Agama Jawi, Akmal Nadzim Abdullah berkata, pungutan khairat perlu mendapatkan kebenaran dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Kita keluarkan amaran untuk premis ini kerana dibimbangi ada unsur penipuan. Jika sabit salah boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tak lebih enam bulan atau kedua-duanya," katanya.

Dalam pada itu, KPNDHEP WPKL turut mengeluarkan kompaun RM300 kepada dua premis kerana gagal mempamerkan tanda harga.

Mengulas lanjut, Ummi Nasrah berkata, sepanjang operasi bermula 11 Januari hingga semalam, sebanyak 91 premis di ibu negara telah diperiksa di mana sebanyak 79 buah restoran adalah milik India Muslim dan selebihnya restoran India, Cina Muslim dan tomyam Thailand.

"Kita telah mengesan dua kes kesalahan penggunaan logo halal yang disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan representasi palsu yang ada unsur perdaya," katanya.