KUALA LUMPUR - Dua wanita warga emas maut dipercayai sesak nafas selepas berasak-asak untuk mendapatkan kupon makanan percuma di Kompleks Perniagaan Bersepadu (ICC) Pudu bersebelahan Plaza Pudu Jalan Kijang di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Shaharuddin Abdullah berkata, Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur menerima maklumat beberapa warga emas pengsan dan tidak sedarkan diri di kompleks berkenaan pada jam 12.04 tengah hari.
"Sebaik terima maklumat sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat beberapa warga emas pengsan dan dua daripadanya terbaring di lantai dan disahkan sudah meninggal dunia.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua mayat didapati tiada kesan unsur jenayah. Warga emas yang meninggal dunia dikenali sebagai Ah Poh, 85, dan Law Ion Nang, 78,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kesemua mangsa itu berasak-asak dalam satu program pemberian kupon makanan kepada warga emas. Program anjuran gabungan peniaga dan penjaja itu berlangsung antara jam 11 pagi hingga 1 tengah hari.
"Kupon itu akan digunakan pada 11 Februari ini di tempat yang sama untuk pemberian makanan percuma. Pihak penganjur hanya peruntuk sebanyak 200 kupon tetapi kehadiran orang ramai tadi lebih kurang 1,000 orang.
"Dua wanita warga emas berkenaan meninggal dunia di lokasi dipercayai berpunca dari sesak nafas semasa berasak-asak untuk mendapatkan kupon tersebut,” katanya.
Shaharuddin berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.