12 individu tinggal sehelai sepinggang

Iklan
Seramai 51 anggota bomba dari BBP Bandar Tun Razak, BBP Pudu dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.

KUALA LUMPUR - Empat keluarga membabitkan 12 individu tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka membabitkan empat unit rumah panjang hangus dalam kejadian kebakaran di Jalan Ikan Emas, Cheras di sini pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pada jam 3.59 pagi itu.

Iklan
Iklan
Seramai 12 individu tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami mereka hangus dalam kejadian pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden sebelum anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak dikejarkan ke lokasi.

Komander Operasi Kanan, Timbalan Penguasa Bomba I Rodzlan Othman berkata, 51 anggota bomba termasuk dari BBP Pudu dan BBP Hang Tuah turut ke lokasi.

Iklan

"Sebuah kereta turut terbakar kira-kira 15 peratus dan sebuah motosikal hangus 50 peratus. Kebakaran dapat dikawal 20 minit kemudian. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Skuad Penyelamat DBKL turut ke lokasi meninjau kejadian kebakaran melibatkan rumah panjang di Jalan Ikan Emas, Cheras di sini pagi tadi.

Sementara itu, Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan memaklumkan Skuad Penyelamat DBKL yang tiba di lokasi pagi tadi mendapati kebakaran rumah berkenaan berjaya dikawal anggota bomba.

Iklan

"Pihak DBKL sedang membuat bancian terhadap mangsa yang terlibat untuk tindakan lanjut. Kesemua mangsa terlibat kini ditempatkan di Dewan Orang Ramai Perumahan Awam Sri Pulau Pinang, di sini,” menurut kenyataan itu.

Empat unit rumah panjang dan dua kenderaan hangus dalam kejadian kebakaran di Jalan Ikan Emas, Cheras di sini pagi tadi.