MELAKA TENGAH - Beberapa artifak berusia lebih 900 tahun antaranya duit syiling dipercayai digunakan ketika abad 15 hingga 16 zaman pemerintahan Portugis serta Belanda ditemui di kawasan semak di antara Pulau Melaka dan Melaka Raya.
Penemuan awal artifak berkenaan ditemui oleh orang awam yang datang memancing di kawasan berkenaan.
Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara (JWN), Mesran Mohd Yusop berkata, penemuan artifak Kesultanan Melaka ketika pemerintahan Sultan Mahmud Shah pada tahun 1488 hingga 1511 dan rangka kapal karam di kawasan Paya Bakau itu disebabkan perubahan aras air serta kerja-kerja penambakan laut sekitar Pulau Melaka sejak dua tahun lalu sehingga artifak tersebut dapat dilihat di permukaan lumpur dan daratan.
Menurutnya, serpihan kayu yang dijumpai dipercayai rangka kapal yang karam menunjukkan kawasan itu pernah wujud perdagangan maritim pada abad ke 10 iaitu Dinasti Song selain tembikar dan porselin dari Dinasti Ming.
Katanya, pihaknya tidak menolak artifak yang ditemui membabitkan empat dinasti iaitu Dinasti Song, Dinasti Yuan, Dinasti Ming dan Dinasti Ching sekali gus memberi gambaran bahawa pernah wujud hubungan antara Melaka dan negara China pada abad itu.
"Kesemua penemuan artifak ini akan menjadi nilai tambah kepada Negeri Melaka yang terkenal sebagai tapak warisan dunia (UNESCO) dan menjangkakan ada banyak lagi artifak-artifak yang akan kita temui di kawasan ini.
"Satu penyelidikan survey arkeologi dikawal selia JWN dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dengan bantuan penyelidik diketuai Datuk Dr Dionysius S K Sharma dijalankan bagi memberi perincian jelas ke atas hasil kajian penemuan artifak ini," katanya.
Mesran berkata demikian selepas membawa media ke lokasi penemuan itu di Melaka Raya, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Mohd Nasruddin Rahman dan Timbalan Pengerusi PERZIM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Mesran yang juga Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN) berkata, penerangan mengenai lokasi-lokasi penemuan artifak berkenaan, dokumentasi fotografi dan analisis artifak termasuk bahan-bahan bertulis yang tersedia di Pulau Melaka khusus membabitkan sejarah Kesultanan Melayu Melaka akan digarap sebagai bentuk laporan supaya kajian arkeologi selanjutnya dapat dijalankan.
Menurutnya, beliau turut menyarankan kajian arkeologi dan penyelamatan artifak seumpama ini dapat dilaksanakan dengan kaedah yang lebih sistematik dan terancang.
Katanya, JWN memohon orang ramai untuk mematuhi perundangan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (AWK 2005), Akta 654 serta Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya Melaka 1988 dengan melaporkan segera sebarang penemuan artifak sejarah di sekitar Pulau Melaka kepada pegawai daerah atau Pesuruhjaya Warisan.
"Kita bernasib baik kawasan ini belum dibangunkan dengan sebarang pembangunan dan akan menggunakan alat serta jentera berkaitan untuk mencari lagi artifak-artifak yang tidak mustahil berada di bawah tanah," katanya.
Dalam pada itu, antara artifak yang berjaya ditemui termasuk mata wang Belanda jenis VOC, mata wang Portugis, mata wang kesultanan Melayu Melaka, serpihan porselin, serpihan kayu kapal, tembikar tanah dan batu balas dipercayai digunakan untuk meriam.