BUKIT MERTAJAM - Kegembiraan empat sahabat yang baru pulang bercuti di Pulau Jerejak semalam berakhir duka apabila dua daripada mereka maut dipercayai lemas akibat terhidu karbon monoksida ketika berehat di dalam kereta awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1.40 pagi, keempat-empat penuntut jurusan farmasi itu dikatakan sedang berehat di dalam kereta di kawasan parkir stesen minyak di Sama Gagah sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mangsa yang maut dikenali Sharifah Fariesha Syed Fathi dan Ayuni Shazwanie Shabri disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Seberang Jaya.
Dua lagi rakan mereka adalah pasangan kembar Nor Adilah Mohd Safwan dan Nor Aqilah yang kesemuanya berusia 21 tahun, malah difahamkan keempat-empat mereka sudah tamat pengajian dan sedang menunggu majlis konvokesyen.
"Siasatan awal mendapati mereka ditemui ayah Ayuni Shazwanie yang dikatakan ke lokasi terbabit bagi mencari mereka.
"Menurut ibunya, Ayuni Shazwanie ada menghantar mesej kepadanya pada jam 9.15 malam memaklumkan mereka berada di stesen minyak terbabit untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan namun sehingga jam 11 malam anaknya itu masih belum sampai ke rumah menyebabkan bapanya ke lokasi berkenaan untuk mencari mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Shafee berkata, sebaik tiba di stesen minyak, bapanya mendapati kereta yang dinaiki mereka ada di ruang parkir dalam keadaan enjin masih hidup dan pintu tertutup.
"Selepas melihat ke dalam, dia mendapati keempat-empat mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dia yang curiga kemudian menghubungi talian kecemasan memaklumkan kejadian.
"Pemeriksaan pasukan perubatan mendapati Sharifah Fariesha disahkan sudah meninggal dunia manakala tiga lagi mangsa dalam keadaan lemah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dirawat.
"Bagaimanapun, Ayuni Shazwanie meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital," katanya.
Menurutnya, semakan rakaman kamera litar tertutup mendapati kenderaan dinaiki mereka tiba di kawasan parkir pada jam 8.30 malam.
"Ada yang keluar dari kereta membeli makanan dan masuk semula tidak lama kemudian, namun tidak keluar lagi sehingga bapa salah seorang mangsa tiba," katanya.
Shafee berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan dua orang lagi rakan mereka masih mendapatkan rawatan di hospital sama.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.