IPOH - Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan meninggal dunia selepas empat hari mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dipercayai didera, hari ini.
Muhammad Firas Danial Muhammad Nizar dimasukkan ke Hospital Seri Manjung, Jumaat lalu setelah berada dalam keadaan kaku di rumah pengasuhnya di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.
Bayi itu kemudiannya dirujuk ke HRPB akibat mengalami pendarahan dalam otak sebelum disahkan meninggal dunia jam 2.40 petang tadi.
Ibu mangsa, Nur Aziemah Zahari, 26, berkata, pada Jumaat lalu, dia menerima panggilan daripada pengasuh sekitar jam 10.30 pagi memaklumkan keadaan anaknya itu.
Dia yang ketika itu sedang bekerja bergegas ke kediaman pengasuh dan mendapati bayi sulungnya tidak sedarkan diri.
"Badannya lembik dan dia langsung tak bimbang dengan keadaan itu saya terus bawanya ke Hospital Seri Manjung.
"Tetapi keadannya semakin kritikal dan doktor minta bayi kami dibawa ke Ipoh supaya satu pembedahan segera dapat dijalankan," katanya.
Menurutnya, selepas pembedahan, keadaan Muhammad Firas yang ditempatkan di Pusat Penjagaan Intensif Pediatrik (PICU) semakin kritikal.
"Badan, tangan, muka semuanya membengkak, denyutan jantungnya juga semakin menurun, doktor maklumkan harapan tipis.
"Kami dah tak sanggup nak lihat keadannya begitu lagi dan reda dengan pemergiannya," katanya.
Nur Aziemah yang bekerja sebagai kerani berkata, laporan awal perubatan yang diberikan kepada mereka tidak menemui kesan fizikal seperti dipukul atau lebam pada tubuh mangsa.
Bagaimanapun katanya, pendarahan dalam otak itu disyaki berpunca daripada gegaran kuat sama ada dari buaian atau digoncang.
"Saya hantar anak saya dalam keadaan sihat, malah pagi itu saya ada mesej pengasuh dan dia mengatakan anak saya okay sahaja.
"Terkilan, memang terkilan...saya selalu baca berita mengenai kes begini dan saya sebenarnya sangat takut kalau jadi pada anak saya, tapi nampaknya tuhan dah tentukan begitu," katanya.
Bayi berkenaan sebelum ini diasuh oleh ibu saudaranya dan baru sahaja dijaga pengasuh berkenaan, tiga minggu lalu.
Laporan polis berhubung kes itu telah dibuat di IPD Manjung dan IPD Ipoh.
Jenazah bayi dijangka dikebumikan hari ini di Kampung Kayan, Sitiawan selepas urusan bedah siasat selesai.