JOHOR BAHRU- Seorang pemandu lori warga asing antara yang ditahan dalam Ops Perdagangan di Plaza Tol Skudai, di sini hari ini kerana memiliki lesen memandu kenderaan perdagangan palsu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketika ditahan pemandu lori warga India berusia 50an itu mendakwa lesen memandunya diperoleh di Klang, Selangor malah dia juga didapati menyalahgunakan permit kerjanya.
"Polis Johor akan menghubungi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyiasat sama ada lesen memandu kenderaan perdagangan terbabit daripada sindiket ataupun diperoleh secara sah namun dipalsukan pihak berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Ops Perdagangan di Plaza Tol Skudai, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M Kumarasan.
Menurut Ayob, Ops Perdagangan ini adalah julung kali diadakan di kawasan lebuh raya bagi mengawal salah laku kenderaan perdagangan melibatkan kesalahan seperti muatan berlebihan.
"Selepas meninjau operasi ini, saya bimbang apabila terdapat kes warga asing memandu lori dengan lesen palsu manakala pemeriksaan lanjut pada kenderaan berat mendapati hampir majoritinya mempunyai tayar hadapan yang sudah botak selain membawa muatan berlebihan dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Ayob berkata, sebanyak 161 Ops Perdagangan diadakan di negeri ini antara Jun hingga Selasa lalu.
Katanya, dalam operasi itu, sebanyak 183 kenderaan perdagangan termasuk lori, treler serta bas diperiksa dengan 160 daripadanya didapati melakukan kesalahan membawa muatan berlebihan.