KOTA KINABALU - Kemudahan jalur lebar di Sabah akan menjadi lebih stabil selepas negeri itu menjadi penerima terbesar pembangunan infrastruktur di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela) dengan anggaran kos RM2.45 bilion.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia akan menjadikan jalur lebar di Sabah bakal setanding dan setaraf dengan kemudahan yang disediakan di negeri-negeri lain di negara ini.
"Menerusi pelaksanaan inisiatif Jendela, rakyat negeri ini akan mendapat capaian internet yang lebih luas bermula penghujung tahun ini sehingga 2022.
"Sebanyak 419 menara baharu akan dibina manakala sejumlah 1,972 pemancar sedia ada bakal dinaik taraf kepada 4G. Liputan talian tetap gentian optik juga akan diperluaskan membabitkan 251,166 premis di seluruh negeri Sabah,” katanya pada Majlis Pelancaran Gerbang Sabah di sini malam ini.
Muhyiddin berkata, pembangunan kemudahan ini dijangka dapat dimanfaatkan untuk memajukan lagi kehidupan dan memakmurkan Sabah.
"Namun, saya percaya masih ada rakyat yang memerlukan bimbingan untuk menjadi warga digital yang produktif.
"Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyediakan 133 Pusat Internet Komuniti untuk memberi bimbingan digital kepada rakyat di Sabah,” katanya.
Terdahulu, Gerbang Sabah yang dilancarkan malam ini adalah titik sambungan internet di antara Sabah dan seluruh dunia yang akan merancakkan lagi pembangunan dan kemajuan Sabah.