KOTA KINABALU - Kemunculan semula bekas Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris ke dalam arena pentas politik dilihat mampu memberi cabaran utama kepada pihak lawan khususnya daripada calon Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Jumat yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau berkata, beliau tidak pernah berhenti untuk berkhidmat kepada masyarakat Sepanggar khususnya di Darau.
"Saya bukanlah muka baharu di kawasan Darau ini, kerana saya adalah ahli Parlimen kamu yang telah bekerja empat setengah tahun sebelum ini untuk kamu.
"Sudah tentu tuan puan semua dapat menilai kerja saya empat tahun yang sudah, bagaimana saya berkhidmat kepada kamu sepanjang tempoh itu, adakah saya atau ahli Parlimen sekarang yang lebih baik?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Darau, di sini petang tadi.
Jumat berharap agar rakyat di DUN Darau dapat memberikannya peluang untuk meneruskan khidmat meskipun berada di dalam kawasan yang kecil.
"Saya yakin kemunculan dan kehadiran saya bertanding semula di Darau meskipun kawasan ini kecil sudah pasti ia mampu menggerunkan Warisan di sini.
"Selain itu saya juga yakin dengan bantuan rakan dan seluruh pimpinan daripada Gabungan Rakyat Sabah, kita akan dapat merampas semula semua kerusi di kawasan Parlimen Sepanggar daripada pihak lawan,” katanya.