ADA pengajaran khusus yang perlu difikirkan apabila berbicara soal pandemik koronavirus (Covid-19) dan kisah ‘budak atas pokok᾿, Veveonah Mosibin.
Covid-19 memberi pengajaran inovasi diperlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Veveonah pula menelanjangi tahap capaian talian internet dan komunikasi di negara ini terutama di Sabah dan Sarawak.
Covid-19 bermakna anda harus cepat untuk mara ke hadapan. Perlukan satu inovasi demi memastikan kita tidak terhimpit dengan kesusahan yang mencengkam rentetan pandemik tersebut.
Dalam hal ini, pengasas Facebook, Mark Zuckerberg sedar betapa hidup bukan hanya sekadar berkaitan sosial media. Covid-19 mengubah sistem pendidikan di seluruh dunia.
Sebagai pelajar tahun dua Universiti Harvard, Zuckerberg membangunkan Facebook pada awal 2004. Awalnya, hanya untuk rantaian persahabatan dalam kalangan kawannya di Ivy Leaque.
Penulis mengikuti rapat kisah Zuckerberg dan Facebook kerana terlibat dalam dunia pendidikan jarak jauh pada ketika itu.
Ada sesuatu yang menarik tentang Facebook. Ketika ini, Facebook ialah rangkaian media sosial paling popular di dunia dengan lebih 2.7 bilion pengguna aktif setiap bulan pada suku pertama 2020 atau 13 peratus daripada pangkalan pengguna di seluruh dunia sebagaimana dilaporkan Pusat Penyelidikan Pew (PRC).
PRC melaporkan 51 peratus pengguna Facebook ialah remaja berumur antara 25 dan 34 tahun. Menyedari hakikat ini, Zuckerberg bingkas melancarkan aplikasi ‘Facebook Campus’. Aplikasi ini khas untuk pelajar belajar dalam talian bersama rakan sealiran bidang daripada seluruh dunia.
‘Facebook Campus’ ialah sebahagian khas aplikasi Facebook bagi membolehkan pelajar membuat profil kampus berbeza daripada profil utama dengan hanya memasukkan alamat e-mel kuliah kolej atau universiti dan tarikh tamat pengajian.
Aplikasi itu bertujuan menghubungkan kembali Facebook dengan generasi pengguna muda yang mula beralih kepada aplikasi lain seperti TikTok, Instagram dan platform lain. Zuckerberg sebenarnya mahu menguasai komuniti alam maya yang memiliki pilihan lain akibat Covid-19.
Fenomena terbaharu itu mengingatkan penulis pada tahun 1995 ketika menjalankan kajian tentang program penyelidikan terhadap pendidikan ‘sistem jarak jauh’ melibatkan universiti di seluruh dunia.
Ketika di Alberta, Kanada, penulis singgah di Universiti Athabasca yang mempunyai sejarah dalam pembelajaran jarak jauh sejak memulakannya pada 1973. Pada 1994, universiti itu memulakan pendidikan dalam talian.
Penulis melaporkan rumusan hasil kajian itu dalam mesyuarat Naib-naib Canselor universiti awam Malaysia pada 1996 yang dipengerusikan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) ketika itu bagi memulakan pelaksanaan pendidikan jarak jauh secara bersepadu di Malaysia. Akhirnya, wujudlah Universiti Terbuka Malaysia (OUM).
Perkara ini telah disebut ALLAH SWT Surah Ar-Rahman ayat 33 bermaksud,"Hai golongan jin dan manusia, jika kamu sanggup menembusi keluar daripada sempadan-sempadan langit dan bumi, maka tembusilah, kamu tidak akan dapat menembusnya melainkan dengan kekuatan.”
Penulis mendapati tiga ciri utama ‘Facebook Campus’ ialah suapan berita khusus kampus (campus-only news feed), direktori kampus (campus directory) dan kaedah baharu perbualan (new ways to chat). Zuckerberg mengutamakan keselamatan siber bagi memastikan ‘Facebook Campus’ selamat.
Aplikasi ‘Facebook Campus’ adalah tindakan pantas Zuckerberg untuk mengukuhkan dominasinya. Selain itu, Zuckerberg mencabar tahap intelek kita untuk mencetuskan inovasi terkini demi kelangsungan hidup.
* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor