KOTA KINABALU - Masalah kemiskinan membelenggu penduduk di kawasan Sepanggar menyebabkan calon Parti Liberal Demokratik (LDP) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Seri Marajoh Unding mahu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Marajoh berkata, masalah kemiskinan penduduk dan isu dihadapi belia semakin ketara semasa negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).
"Seramai 14,962 keluarga terdiri dari 110 kampung yang saya bantu dengan wang saya sendiri ketika PKP menyebabkan saya nampak kemiskinan masih berlaku.
"Sewaktu kita berhadapan dengan wabak Covid-19 dan rakyat dikenakan PKP, saya nampak penderitaan dan kemiskinan rakyat serta banyak masalah belia. Ini menggerakkan diri saya untuk berjuang kali ini," katanya ketika ditemui pada majlis mesra pemimpin bersama rakyat di Kampung Rampaian, Menggatal semalam.
Beliau menegaskan, masalah berkenaan sebenarnya dapat diselesaikan sekiranya wakil rakyat sebelum ini memainkan peranan mereka dengan lebih baik.
Mengulas mengenai kemampuannya dilantik sebagai wakil rakyat, Marajoh berkata, hasil kerja selama 18 tahun dalam kebajikan dan sering turun padang untuk membantu rakyat adalah kelebihan kepadanya untuk mengambil alih DUN Karambunai.
"Saya sudah membuat kerja kebajikan selama 18 tahun dan ini kali pertama saya berpolitik kerana sebelum ini perspektif saya pada bidang politik adalah berlainan.
"Namun selama itu, saya lihat kemiskinan masih berlaku dan saya akan cuba perjuangkan nasib rakyat sekiranya diberi peluang dalam PRN kali ini untuk memenangi kerusi DUN Karambunai," katanya.
Sebelum itu, Marajoh bersama calon DUN Inanam, Tan Sri Chong Kah Kiat yang juga Presiden Kehormat Seumur Hidup LDP turut membuat tinjauan mesra di sekitar Pekan Inanam dan Manggatal untuk berjumpa dengan rakyat di kawasan mereka.