DBKK puas hati parti politik ikut peraturan

Iklan
Antara bendera- benderaparti yang bertanding pada PRN Sabah digantung di sekitar Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meminta kepada semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan khususnya dalam pemasangan poster dan bendera parti.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman berkata, semua parti yang bertanding di sekitar bandar raya ini juga perlu membuang poster dan membuka bendera parti dalam tempoh yang ditetapkan selepas PRN berakhir.

Iklan
Iklan

"Selepas seminggu kempen ini, saya dapati semua berjalan lancar dan tiada sebarang aduan diterima. Mereka juga mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Namun saya juga minta agar mereka (parti politik) untuk sentiasa menjaga kebersihan dan semua bendera serta poster perlu dipasang berdasarkan ketetapan yang diberikan oleh pihak Jabatan Perlesenan DBKK,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program aktiviti pembersihan pusat bandar raya di sini hari ini.

Iklan

Katanya, kegagalan pihak terbabit untuk mengikuti peraturan yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kempen Pilihan Raya iaitu deposit wang hangus.

Antara beberapa lokasi pemasangan bendera parti politik yang mula kelihatan di sekitar bandaraya Kota Kinabalu selepas hampir seminggu berkempen pada PRN Sabah.

Berdasarkan rekod Jabatan Pelesenan DBKK, sebanyak lebih 50 permit telah dikeluarkan jabatan itu bagi tujuan pemasangan poster dan bendera parti membabitkan tujuh buah Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di sekitar bandar raya.

Iklan

Antara DUN terlibat ialah DUN Karambunai; DUN Darau; DUN Inanam; DUN Likas; DUN Api-Api; DUN Luyang dan DUN Tanjung Aru.

Proses pemasangan poster dan bendera parti sekitar bandar raya ini dilihat mula rancak dipasang selepas seminggu berkempen dan perlu dibuka selepas tamat proses pengundian 26 September depan.

Terdahulu, Nordin berkata, aktiviti pembersihan pusat bandar raya yang dijalankan merupakan aktiviti berterusan yang dilaksanakan pihaknya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

"Aktiviti ini sebenarnya bukan baru, DBKK sudah lama laksanakan sejak PKP lalu dan ia akan berterusan menumpukan beberapa kawasan sekitar bandar raya.

"Tujuan pembersihan ini adalah untuk keceriaan, kecantikan, kebersihan dan juga mahu mengekalkan status bandaraya kita sebagai semua bandar raya yang bersih dan cantik dimata penduduk serta pengunjung yang tiba,” katanya.

Skop pembersihan itu membabitkan proses mencuci pusat pembuangan sampah; pencucian parit; membersihkan kotoran tepi bangunan dan pembersihan jalan raya.