BEAUFORT - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memperuntukkan lebih RM70 juta kepada negeri Sabah pada tahun 2020 bagi memastikan taraf ekonomi peladang, penternak dan nelayan terus maju dan tidak terkebelakang berbanding sektor lain.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, peruntukan berkenaan diberikan kepada negeri Sabah bagi membina dan menaik taraf infrastruktur pengairan dan saliran, membangunkan projek tanaman, perikanan, ternakan dan tenusu serta bantuan-bantuan berbentuk input, teknologi dan insentif galakan skim pertanian baik.
Menurutnya, Sabah merupakan negeri yang kedua terbesar di Malaysia dan 27 peratus daripada guna tanah Sabah adalah bagi tujuan pertanian, iaitu kira-kira 1.98 juta hektar.
"Keluasan tanah pertanian Sabah adalah jauh lebih luas walaupun jika dibandingkan dengan keluasan seluruh negeri tertentu di Semenanjung Malaysia.
"Dengan memiliki tanah pertanian seluas ini, Sabah mempunyai potensi yang sangat besar dalam sektor pertanian dan industri makanan,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian pada program Perdana Menteri Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah serta Pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma di sini.
Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
Ronald berkata, sumbangan sektor pertanian Sabah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pertanian negara pada 2019 bernilai RM13.7 bilion atau sebanyak 13.5 peratus.
"Sabah turut mempunyai potensi bagi membangunkan produk-produk pertanian seperti padi, nanas dan durian disebabkan oleh kesuburan dan keluasan tanahnya serta lima hasil perikanan seperti rumpai laut yang boleh menyumbang kepada eksport negara,” katanya.
Beliau berkata, dengan pelbagai bantuan khas yang disampaikan oleh kerajaan, beliau berharap ia dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh peladang, penternak dan nelayan dalam meneruskan aktiviti pertanian masing-masing.
"Kerajaan Perikatan Nasional akan terus memastikan kebajikan dan kemakmuran mereka menjadi keutamaan pada setiap masa serta akan memajukan lagi sektor pertanian dan industri makanan negara termasuk di negeri Sabah,” katanya.
Mantapkan rantaian
Ronald berkata, kementerian memainkan peranan penting untuk memastikan bekalan makanan utama negara seperti beras, buah-buahan, sayur-sayuran, ikan dan daging terjamin semasa pandemik koronavirus (Covid-19).
"Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri telah mengambil tindakan pantas dengan melancarkan pakej rangsangan ekonomi Prihatin dan Penjana bagi memastikan sektor-sektor yang terkesan dan rakyat keseluruhannya mendapat sokongan dan bantuan yang diperlukan.
"Antara inisiatif dan program yang telah dirangka adalah dengan memantapkan rantaian bekalan makanan seperti menambah baik infrastruktur, mengukuhkan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran serta meluaskan lagi pemasaran.
"Kementerian telah diperuntukkan RM650 juta di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi ini di mana lebih daripada RM73 juta telah diperuntukkan untuk negeri Sabah sahaja,” katanya.
Beliau berkata, daripada jumlah RM50 juta Dana Khas Pertubuhan Peladang Kawasan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, sebanyak RM4.74 juta atau 9.5 peratus disalurkan kepada negeri Sabah, antara yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain.
"Ia sekali gus membuktikan Perdana Menteri sentiasa mengambil berat dan prihatin kepada nasib peladang, penternak dan nelayan,” katanya.
Menurutnya, terdapat 13 jabatan dan agensi di bawah kementerian itu dan lima daripada 13 jabatan dan agensi kementerian ini beroperasi di Sabah khususnya dalam pembangunan peladang, penternakan, perikanan, penyelidikan, perbankan dan industri makanan iaitu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian 3 Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Agrobank.