KUANTAN - Seorang mekanik kereta sambilan dihukum penjara enam tahun dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah dua pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dan lucah.
Hakim Siti Aminah Ghazali turut memerintahkan tertuduh, Lim Ming Soon, 40, yang masih bujang menjalani kaunseling dan pemantauan selama tiga tahun.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki gambar dan video pornografi kanak-kanak yang disimpan dalam beberapa peranti elektronik termasuk pendrive, cakera keras, telefon bimbit dan komputer riba.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Haji Ahmad di sini kira-kira jam 1.30 tengah hari, 11 September lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a)Kanun Keseksaan kerana memiliki gambar dan video lucah yang disimpan dalam peranti elektronik sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada masa, tarikh dan lokasi sama dengan tuduhan pertama.
Bagi kesalahan ini, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tenang sepanjang prosiding berlangsung mengaku faham terhadap kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani.
Tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Rahiza Zulkifli dalam rayuannya memohon agar dikenakan hukuman paling minimum mengambil kira pengakuan bersalah yang telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Dia juga mengakui tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya bekerja membaiki kenderaan secara sambilan dengan pendapatan tidak seberapa.
Selain itu, tertuduh juga kini menjaga kedua ibu bapa yang uzur di mana ibunya yang berusia 63 tahun kini menghidap kanser paru-paru tahap empat.
Bagaimanapun pihak pendakwaan memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam.
Dalam keputusannya, Siti Aminah menyabitkan tertuduh dengan kesalahan itu sebelum menjatuhkan hukuman penjara selama 36 bulan dan denda RM10,000 bagi tuduhan pertama manakala 36 bulan penjara untuk tuduhan kedua.
Hukuman penjara ke atas tertuduh berjalan secara berasingan.