PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta semua pihak bersabar dan menunggu Menteri Kewangan Lim Guan Eng membuat pengumuman berhubung dakwaan pembatalan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menurutnya, kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.
"Tunggu apa kata Guan Eng,
"Kadangkala orang buat salah, tetapi kita faham ini adalah kerajaan baharu," katanya.
Mengulas mengenai penyebaran surat pembatalan ECRL, beliau menafikan surat berkenaan daripada kerajaan.
"Semua orang boleh ambil letter head kerajaan, potong dan tampal," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program eksklusif Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun Persekutuan di sini hari ini.
Sabtu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali mengumumkan kerajaan membuat keputusan membatalkan projek ECRL yang diterajui China Communications Construction Group Ltd (CCCC) dan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet Khamis lalu.
Pembatalan itu dibuat kerana kerajaan tidak mampu menanggung kadar faedah projek hampir RM500 juta setahun.
Bagaimanapun pengumuman itu mengejutkan Guan Eng dan beranggapan Azmin tidak maklum mengenai keputusan kabinet kerana mendakwa bekas Menteri Besar Selangor itu tidak hadir pada mesyuarat tersebut.
Hari ini, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan tandatangan Guan Eng pada surat pembatalan projek ECRL yang tular.
Najib dalam status terbaharu di Facebooknya meminta kerajaan mengaku telah membuat keputusan itu tanpa perlu berdolak- dalih.
Projek ECRL membabitkan jajaran rel sepanjang 688.3 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Gombak, Selangor.
Sebanyak 44 terowong akan dibina di beberapa kawasan dengan keseluruhan jarak meliputi 39.1km.
Ia termasuk terowong berkembar sepanjang 16.3km dari Bentong ke Gombak yang bakal menjadikannya terowong rel terpanjang di negara ini.
Laluan ECRL bakal menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Lembah Klang.