Beca Terengganu perlu diinovasi

Iklan
Ahmad Amzad (kiri) ketika menyantuni pengayuh beca di Pasar Payang, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU - Beca Terengganu yang terkenal sebagai alatan pengangkutan utama suatu ketika dulu kini perlu diinovasikan supaya ia lebih mudah digerakkan dan selesa sesuai dengan perkembangan semasa.

Timbalan Menteri Sains dan Teknologi, Ahmad Amzad Hashim berkata, penambahbaikan perlu dilakukan supaya ia lebih senang digunakan serta tidak lagi perlu bergantung kepada tenaga manusia.

Iklan
Iklan

"Saya sering menyantuni penarik beca di Kuala Terengganu yang rata-rata sudah berumur 70-an. Orang muda tak minat. Kerja letih.

"Mod pengangkutan ringkas dan mudah begini akan tetap menarik dan kekal relevan di masa hadapan sebagai penghubung antara lokasi-lokasi dalam bandar.

Iklan

"Ia perlu diinovasikan. Jadikan menarik, senang, selesa, tak perlu guna tulang empat kerat," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah meminta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menganjurkan pertandingan inovasi beca Terengganu dalam talian.

Iklan

"Saya harap akan muncul idea-idea yang menarik, berdaya maju yang bakal menjadikan mod pengangkutan beca punya nilai komersial yang lebih berpotensi selain tarikan pelancongan.

"Mungkin guna teknologi solar, bateri, ada sistem hiburan yang bagus, ada wifi atau skrin pilihan destinasi, mainkan lagu-lagu menarik diselang seli lagu identiti Terengganu seperti Teganung Kiter dengan masih kekal beroda tiga.

"Mungkin nanti ada perkhidmatan beca sebegini yang berulang-alik hantar pengunjung dari Pasar Payang ke Menara Drawbridge," katanya.

Pertandingan Inovasi Beca Terengganu menyediakan hadiah lumayan antaranya hadiah saguhati RM1,000 kepada 10 pemenang manakala rekaan terbaik akan ditawarkan Geran Pembangunan Maksimum RM200,000 di bawah Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6).

Maklumat lanjut pertandingan boleh didapati melalui pautan http://iic innomap.my dan tarikh tutup penyertaan pada 20 September.