SHAH ALAM - Senaman boleh dilakukan pada bila-bila masa sama ada waktu siang atau malam kerana ia tidak akan memberi kesan kepada kesihatan seseorang individu.
Pengarah Sukan & Kecergasan Kardiovaskular Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon berkata, senaman yang dilakukan pada bila-bila masa adalah lebih baik daripada langsung tidak bersenam.
Namun katanya, beliau lebih gemar bersenam pada waktu siang kerana berpendapat ia memberi lebih kesegaran dan kecergasan kepada badan serta otak untuk sepanjang hari.
"Selepas bersenam pada siang hari, kita boleh tidur sekejap tapi jangan berlebihan kerana tidak mahu ia mengganggu tidur pada waktu malam.
"Namun jika ada yang memilih untuk melakukan senaman pada sebelah malam, ia mungkin memberi sedikit cabaran kerana selepas itu ia akan menyukarkan kita untuk tidur kerana badan masih dalam keadaan yang cergas.
"Jadi seseorang itu akan mengambil sedikit masa sebelum boleh tidur lena dan ada yang bangun pada keesokan harinya dalam keadaan penat seolah-olah tidak cukup tidur," katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Siri 194 bertajuk 'Apabila sukan bertukar bahaya' yang berlangsung di Studio F, Karangkraf di sini malam tadi.
Turut menjadi panelis ialah Jurulatih Tabiat Nutrisi dan Jurulatih Yoga, Gayatri Pillay dan peminat sukan berbasikal, Noor Nabila Mohd Noor serta Herleena Pahlavy selaku moderator.
Menjawab persoalan sama ada bahaya atau tidak sekiranya seseorang individu terus tidur selepas melakukan senaman, Dr Jeffrey berkata, ia tidak membahayakan cuma akan mengganggu sedikit waktu tidur terutamanya jika senaman dibuat pada sebelah malam.
Bagaimanapun Dr Jeffrey berkata, setiap individu yang ingin bergiat dalam sukan atau mahu melakukan senaman perlu mengetahui had kemampuan mereka sama ada dengan melakukan ujian pernafasan atau percakapan atau melalui zon kadar denyut jantung.
Katanya, menerusi ujian pernafasan atau percakapan, jika seseorang itu boleh bercakap dalam satu ayat penuh bermakna mereka tiada masalah tetapi jika sewaktu bersukan mereka langsung tidak boleh bercakap, maka itu adalah had mereka.
"Melalui kaedah zon kadar denyut jantung pula ia dikira berdasarkan kadar denyut jantung maksimum seseorang individu itu.
"Kadar denyut jantung maksimum adalah 220 dan perlu ditolak dengan usia seseorang individu itu bagi mendapatkan kadar denyut jantung maksimum. Sebagai contoh, 220 ditolak dengan usia 40 tahun akan mendapat 180 kadar denyut jantung maksimum," katanya.
Tambahnya, ia kemudiannya akan dibahagikan kepada lima zon iaitu zon 1: 50-60 peratus, zon 2: 60-70 peratus, zon 3: 70-80 peratus, zon 4:80-90 peratus dan zon 5: 90-100 peratus.
"Katakan individu berusia 40 tahun tadi hendak bersukan atau bersenam, kadar denyut jantung maksimumnya adalah 180 dan jika dia berada dalam zon 2 dan 3, pasti tiada masalah.
"Jika dia berada di zon 4 dan 5 bagus untuk tambah 'performance' tetapi masa tidak banyak," katanya.
Selain itu katanya, penggunaan jam atau gajet juga boleh membantu untuk memantau kadar denyut jantung seseorang semasa dan selepas bersukan atau bersenam.