Hospital Kerian: Kelewatan hanya 1 peratus

Iklan
Laporan Sinar Harian, 26 Januari lalu.

IPOH - Kerja-kerja fizikal di tapak pembinaan Hospital Kerian di Simpang Lima, Parit Buntar mencapai lapan peratus dan berdasarkan laporan kemajuan fizikal terkini, tahap itu menunjukkan kelewatan hanya satu peratus berbanding jadual kerja sebenar.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu kenyataan hari ini berkata, masalah percanggahan maklumat serta lukisan terbina yang berlaku pada awal pembinaan diselesaikan menerusi mesyuarat teknikal dan mesyuarat penyelarasan informasi permodelan bangunan (BIM).

Iklan
Iklan

"Isu seperti percanggahan antara lukisan, penyelarasan kerja, pematuhan kepada keperluan teknikal, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi utiliti merupakan perkara yang sering dibincangkan dan diselesaikan bersama.

"JKR bersama Kementerian Kesihatan, kontraktor dan pihak-pihak berkepentingan menerusi mesyuarat teknikal dan mesyuarat tapak yang diadakan secara berkala berusaha memastikan kerja-kerja di tapak tidak tergendala,” katanya.

Iklan

Penjelasan itu bagi menjawab laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang membuat lawatan ke tapak berkenaan, Sabtu lalu.

Hasnul yang juga Adun Titi Serong berkata, perkembangan projek pembinaan hospital terbabit amat mengecewakan kerana berdepan masalah kelewatan lima peratus daripada jadual asal.

Iklan

Menurut JKR, Pasukan Projek Khas yang ditempatkan secara sepenuh masa di tapak menjalankan pemantauan rapi terhadap semua projek sepanjang tempoh pelaksanaan.

"Ia bagi memastikan segala isu serta permasalahan dapat dikenal pasti dan diselesaikan supaya projek dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan. Jadi isu berkaitan integriti dan keselamatan struktur bangunan seperti dilaporkan, sama sekali tidak berlaku.

"Mesyuarat diadakan secara berterusan dari semasa ke semasa untuk menyelesaikan percanggahan yang mungkin timbul. Selaku agensi pelaksana, JKR sentiasa berusaha untuk mempelopori dan melaksanakan kaedah baru pembinaan bagi menambah baik sistem penyampaian projek kepada rakyat,” katanya.

Projek pembinaan hospital menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) dan BIM yang memperuntukkan RM136.7 juta itu bermula pada 2 Januari tahun lalu dan dijadualkan siap pada 28 Disember 2020.

JKR memberitahu, keputusan untuk melaksanakan projek perintis secara konvensional berkonsepkan IBS dan BIM dipersetujui secara bersama dengan Kementerian Kesihatan.