KLANG - Seorang remaja perempuan tergamak menggadai maruahnya apabila sanggup dinodai teman lelakinya hanya kerana mahu mendapatkan bekalan dadah.
Kejadian itu terbongkar apabila remaja berusia 16 tahun itu ditahan di rumahnya oleh sepasukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Klang dalam operasi Ops Cegah bermula jam 11 pagi di daerah itu, semalam.
Iklan
Iklan
Ketua Unit Penguatkuasaan AADK Daerah Klang, Ezwan Shahrin Saihani berkata, siasatan mendapati remaja berkenaan mula terjebak dengan dadah jenis syabu sejak berusia 15 tahun selepas dipengaruhi teman lelakinya.
"Remaja itu juga dalam proses memohon pertukaran sekolah selepas ditahan di pusat pemulihan akhlak tahun lalu.
"Dipercayai remaja itu sanggup melakukan hubungan seks bersama teman lelakinya untuk mendapatkan bekalan dadah. Susulan itu, AADK menahan suspek lelaki berusia 21 tahun," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit tiada pengenalan diri selain disyaki menggunakan surat beranak palsu apabila didapati tiada rekod didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Selain itu katanya, operasi yang tamat pada jam 5 petang itu turut menahan lapan individu lain berusia lingkungan 16 hingga 54 tahun dan kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983.