Tiga mangsa bot karam ditemui selamat

Iklan
Tiga mangsa bot karam di perairan Pengerang, Johor semalam ditemui selamat di Pulau Tekong, Singapura, hari ini.

JOHOR BAHRU - Tiga mangsa bot karam di perairan Pengerang, Kota Tinggi semalam termasuk seorang rakyat Singapura ditemui selamat oleh nelayan di daratan Pulau Tekong, Singapura hari ini.

Mangsa, Ogeven Ogen, 14, dan Timutius Tan, 16, yang merupakan warga tempatan manakala Ong Gim Hong, 55, warganegara Singapura ditemui terdampar pada jam 9 pagi tadi di pulau itu.

Iklan
Iklan

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, semua mangsa selamat dan mereka dibawa ke Jeti Teluk Kabong, Pasir Gudang sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran.

"Mereka terdampar di pulau tersebut berkemungkinan selepas dihanyutkan ombak sejurus bot karam. Jarak antara jeti tersebut ke Pulau Tekong dalam anggaran tiga atau empat batu nautika sahaja.

Iklan

"Ogeven dan Timutius adalah sepupu berasal dari Teluk Kabong. Penemuan semua mangsa yang terdampar di pulau itu dimaklumkan Ketua Kampung Teluk Kabong kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru pagi tadi.

"Mangsa memaklumkan bot yang dinaiki mereka karam selepas dipukul ombak semasa menjaring di perairan Pengerang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan
Mangsa memaklumkan bot yang dinaiki mereka karam selepas dipukul ombak semasa menjaring di perairan Pengerang.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa menangkap ikan di perairan Pengerang pada jam 3 petang semalam dan keluarga mereka membuat laporan polis pada jam 9.45 malam selepas semuanya tidak pulang serta gagal dihubungi.

"Sejurus itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada jam 10.30 malam yang diselaraskan APMM meliputi keluasan 20 batu nautika persegi dengan menggunakan sebuah bot APMM dan bot Pasukan Polis Marin (PPM) dibantu nelayan tempatan.

"SAR ditamatkan pada jam 10.15 pagi tadi," katanya yang turut menasihatkan orang ramai dan komuniti maritim agar berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut serta sentiasa mengutamakan keselamatan dan peka dengan keadaan cuaca.

Katanya, untuk sebarang kecemasan di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999.