Pelajar cedera bilik di maahad tahfiz terbakar

Iklan
Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran yang berlaku di sebuah bilik di Maahad Tahfiz Darul Ulum Ar-Rahimiyah di Jitra hari ini.

JITRA - Seorang pelajar tahfiz cedera terkena serpihan kaca dalam kebakaran di sebuah bilik di Maahad Tahfiz Darul Ulum Ar-Rahimiyah, Lorong Alif, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.23 petang tadi dan tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak di tingkat atas bangunan, manakala enam pelajar yang berada di situ berjaya menyelamatkan diri.

"Bagaimanapun salah seorang daripada pelajar lelaki itu cedera pada jari akibat terkena serpihan kaca dan dikejarkan ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Mohamadul Ehsan berkata, pusat tahfiz berkenaan menempatkan seramai 54 orang penghuni termasuk dua orang tenaga pengajar.

"Ketika kejadian, hanya enam orang pelajar berada di pusat tahfiz berkenaan, manakala pelajar lain sudah pergi ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Jumaat," katanya.

Iklan
Hujan membantu anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah bilik di Maahad Tahfiz Darul Ulum Ar-Rahimiyah di Jitra hari ini.

Beliau berkata, kebakaran tersebut melibatkan sebuah bilik yang menjadi tempat simpanan barangan perkakasan tidur.

"Kebakaran itu menyebabkan 30 peratus daripada keseluruhan pusat tahfiz tersebut musnah. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.41 petang.

"Hujan yang turun sedikit sebanyak membantu dan kita masih menyiasat punca kebakaran," katanya.

Sementara itu, seorang pelajar yang berjaya menyelamatkan diri, Naufal Iqbal Mohamed Sofian, 11, berkata, ketika kejadian, dia bersama rakan-rakan sedang bersiap untuk menunaikan solat zohor.

"Ketika salah seorang daripada kami melaungkan azan, tiba-tiba penggera asap berbunyi di tingkat atas dan kami terbau hangit.

"Pada mulanya kami sangka jiran sedang memasak tapi setelah diperiksa, rupanya salah sebuah bilik di tingkat atas terbakar.

"Kami terus berlari keluar dan memaklumkan kejadian itu kepada jiran yang segera menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan," katanya.