SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) lebih telus dalam rancangannya mendapatkan vaksin koronavirus (Covid-19) untuk negara ini.
Presidennya, Dr N Ganabaskaran berkata, rakyat berhak mengetahui mengapa Malaysia tidak menandatangani pelan peruntukan vaksin Covid-19 (Covax).
"Malaysia bukan antara 172 negara yang mendaftar dan hari ini (18 September) adalah tarikh akhir. MMA percaya walaupun Malaysia mempunyai rundingan dua hala untuk vaksin, mendaftar untuk pelan Covax merupakan pilihan tambahan yang akan menjamin akses kepada vaksin untuk Covid-19.
"Walaupun KKM memerlukan lebih banyak masa untuk membuat keputusan melebihi tarikh tutup pelan itu, rakyat mesti tahu,” katanya seperti dilaporkan portal berita Free Malaysia Today (FMT), hari ini.
Katanya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba perlu memberi respons segera kepada rakyat mengapa Malaysia menangguhkan pelan mendapatkan vaksin Covid-19.
"Menteri Kesihatan mesti memberi respons sekarang atau dia mungkin harus menjawabnya kepada rakyat kemudian mengapa Malaysia berada dalam barisan terakhir untuk mendapatkan vaksin.
"MMA percaya walaupun Malaysia mempunyai rundingan bilateral sendiri untuk sesuatu vaksin, mendaftar dengan pelan vaksin Covax boleh menjadi pilihan tambahan yang akan menjamin akses ke vaksin untuk Covid-19,” katanya.
Tambah Ganabaskaran, kemungkinan terdapat masalah keselamatan berhubung perkara itu, namun beliau yakin KKM dapat memantau dengan berkesan.
"Kami faham mungkin ada masalah keselamatan terhadap pengembangan vaksin yang pantas dan kita sama-sama prihatin.
"Tetapi sebarang vaksin yang berpotensi akan dinilai secara menyeluruh melalui pemeriksaan ketat oleh KKM untuk keberkesanan dan keselamatan sebelum dipersetujui dan dinyatakan selamat untuk penduduk," katanya.