MB Kedah akur jika diarah kuarantin

Iklan
Muhammad Sanusi - Foto Bernama

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor akur sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan beliau menjalani kuarantin di rumah selepas ujian saringan Covid-19 (swab) pagi tadi.

Menurutnya, beliau dan beberapa Exco kerajaan negeri yang terlibat pada sidang media Isnin lalu, bukanlah kontak rapat kepada kes positif koronavirus (Covid-19), sebaliknya hanya berada dalam program sama.

Iklan
Iklan

"Saya lakukan ujian saringan secara sukarela untuk pastikan tidak dijangkiti sepanjang beberapa hari berada di luar ketika bertugas,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, turut menjalani ujian saringan termasuk Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Datuk Najmi Ahmad serta Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman.

Iklan

"Semua yang hadir tiada bergejala, kami tidak dikenakan kuarantin kendiri dan tidak perlu memakai gelang merah jambu KKM, kerana hadir secara sukarela dan bukan dipanggil untuk jalani ujian,” katanya.

Menurutnya, ketika sidang media itu berlangsung, semua petugas media termasuk individu yang disahkan positif Covid-19 mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Iklan

"Semua yang hadir pada hari itu tidak bersentuhan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal. Bagaimanapun, sekiranya KKM arahkan kami kuarantin di rumah, kami akan akur,” katanya.

Hari ini, sekali lagi Muhammad Sanusi melakukan ujian saringan Covid-19 di Dataran Blok A, Wisma Darul Aman setelah menjalani tiga ujian saringan sebelum ini, dengan semua keputusannya adalah negatif.

Turut menjalani ujian sama adalah 55 individu lain, antaranya kakitangan Pejabat Menteri Besar dan beberapa pimpinan Pas Kedah.

Pada 14 September lalu, seorang daripada petugas media yang disahkan positif wabak itu kelmarin, hadir membuat liputan majlis penyerahan bantuan di Wisma Darul Aman yang turut dihadiri Muhammad Sanusi.

Majlis itu dihadiri beberapa Exco, pegawai kanan kerajaan, pemimpin parti termasuk petugas media tempatan.

Susulan itu, kakitangan Wisma Darul Aman dan wartawan terlibat turut diminta menjalani ujian saringan di Hospital Alor Setar.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Kedah jalani saringan Covid-19 esok

Sebelum ini, beberapa blog termasuk netizen mempertikai keberadaan Muhammad Sanusi di beberapa program dan lokasi luar daerah Kota Setar yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran sejak 11 September lalu.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, sampel ujian dihantar ke makmal di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan keputusan dijangka diperoleh esok.

"Definisi hubungan rapat bagi kes Covid-19 adalah individu yang berada dalam jarak satu meter atau lebih dekat dalam tempoh 15 minit atau lebih secara berterusan.

"Dalam kes Menteri Besar, beliau bukan kontak rapat dengan individu disahkan positif itu. Oleh itu, tiada halangan untuk Muhammad Sanusi turun padang menjalankan tugas dalam membantu penduduk di PKPD Kota Setar atau di Ambangan Heights, Sungai Petani,” katanya.

Dr Mohd Fikri berkata, 55 individu terbabit juga tidak perlu dikuarantin kerana ia adalah ‘surveillance test’ yang tidak memerlukan mereka dikuarantin atau dipakaikan gelang merah jambu.