Tony Fernandes nafi AirAsia Japan gantung penerbangan

Iklan
Tony Fernandes

KETUA Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes menafikan berita bahawa AirAsia Japan akan menggantung semua penerbangan, kebanyakannya pada Oktober.

"Saya tidak tahu daripada mana ia timbul, namun, secara jelas (kami) menilai semula dan menilai semua operasi pada bila-bila masa.

Iklan
Iklan

"Kita perlu tunggu dan lihat, bagaimanapun, tiada rancangan (penggantungan) buat masa ini... ia adalah khabar angin,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran ‘single’ pertama Jannine Weigel bertajuk Passcode di bawah naungan RedRecords hari ini.

AirAsia Japan dilaporkan menggantung semua penerbangannya mulai 1-24 Oktober, didorong oleh permintaan yang lemah daripada dijangkakan dengan tiga laluan domestik yang menghubungkan pangkalan syarikat penerbangan itu di Chubu ke Sapporo, Sendai dan Fukuoka akan digantung.

Iklan

Fernandes berkata, syarikat penerbangan itu akan terus memberi tumpuan kepada ASEAN dan tiada perancangan untuk menutup operasinya di Jepun.

"Bukan pada masa ini. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku (pada masa depan),” katanya.

Iklan

Mengulas mengenai operasi domestik, Fernandes berkata, beliau optimis mengenai pertumbuhan pada masa depan berikutan syarikat penerbangan itu berada dalam kedudukan yang kukuh untuk mencatat pemulihan yang lebih cepat.

Ketika ditanya kemungkinan berlaku pengurangan tenaga kerja yang selanjutnya, beliau berkata:"Saya tidak boleh berkata tidak kepada apa-apa sahaja... saya akan berusaha keras dan berharap mendapat sokongan supaya kita tidak perlu mengurangkan pekerja.

"Itu adalah perkara terakhir yang ingin saya buat. Kami berjuang bersungguh-sungguh dan pengurangan tenaga kerja (di AirAsia) adalah sangat minimum berbanding syarikat penerbangan lain,” katanya.

Beliau berkata faktor muatan syarikat penerbangan bagi pasaran domestik pada masa ini berjumlah 70 peratus.

Menurut Fernandes, kebanyakan kakitangan AirAsia yang terbabit dalam pengurangan tenaga kerja sebelum ini dilatih semula di Redbeat Academy, manakala kebanyakan yang lain menyertai perniagaan lain dalam syarikat penerbangan itu. - Bernama