KUALA PILAH - Seorang pengawal keselamatan didenda RM900 oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan memiliki wang bukan miliknya tiga tahun lalu.
Tertuduh, Syed Abdul Lateef Rabani Syed Ahmad, 26, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 21 November 2017, lebih kurang jam 11.05 pagi di kaunter Bank Islam cawangan Kuala Pilah, telah didapati wang berjumlah RM1,500 dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh di mana tertuduh tidak dapat memberikan penjelasan bagaimana wang tersebut boleh diperolehnya.
Oleh demikian tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman.
Sementara itu mengikut fakta kes, pada 21 November 2017, lebih kurang jam 11.05 pagi, seorang wanita berusia 42 tahun menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali mendakwa daripada sebuah bank mengatakan mangsa mempunyai tunggakan bayaran pinjaman.
Mangsa kemudiannya telah bercakap dengan dua lagi individu lain yang mendakwa dia terlibat dengan kes dadah, sebelum diarahkan memindahkan wang RM1,500 dalam akaun milik tertuduh dan wang akan dipulangkan jika kes selesai.
Hasil siasatan mendapati tertuduh tidak mengetahui hal kemasukan dan pengeluaran wang itu selain gagal menjelaskan siapa yang memasukkan wang tersebut dalam akaun dan tujuan apa.