AWAS tawaran harga rumah murah! Sindiket penipuan jual beli rumah tidak dinafikan akan menggunakan pelbagai taktik untuk mengaburi mata mangsanya apatah lagi tawaran jualan yang diberikan melibatkan harga yang jauh lebih rendah.
Mendedahkan perkara itu, pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, jenayah penipuan itu sama seperti sindiket Macau Scam dan seumpamanya berikutan masyarakat perlu berwaspada.
Menurutnya, jual beli rumah berlaku tidak kira sama ada ia dijual oleh pemilik asal mahu pun pihak pemaju.
"Jadi, sekiranya kita hendak atau berminat untuk membeli kediaman yang bakal dibina misalnya, perkara yang wajib dilakukan adalah pastikan pemaju itu ada mendaftar dan menerima kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membuktikan pemaju telah mendapat kebenaran untuk membina di tanah terbabit.
"Ada kes di mana pemaju hanya sekadar buat pelan sahaja dan mempromosikannya dengan harga murah untuk memancing pembeli. Walhal, pembinaan itu tiada pun kelulusan daripada pihak PBT.
"Selepas kita bayar sejumlah wang pendahuluan, projek itu sebenarnya tidak dijalankan dan pemaju hanya lepas tangan dengan bermacam alasan,” katanya kepada Sinar Harian.
Shahul turut menasihatkan pembeli supaya menyemak dahulu dengan pihak berwajib bagi mengetahui status tanah misalnya selain membandingkan dengan harga jualan terkini.
Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan penipuan sebegini akan melantik individu popular dalam kalangan artis popular untuk meyakinkan pembeli.
"Mungkin sesetengah orang akan beranggapan bahawa tidak mungkin artis menipu, sedangkan artis itu digunakan hanya sebagai ‘pelaris’.
"Bagi menarik perhatian orang ramai, suspek mempromosikan penjualannya di media sosial selain pengiklanan di beberapa medium bagi memastikan masyarakat mengetahui tentang promosi terbabit. Masyarakat kita hari ini mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran sedemikian.
"Satu lagi yang boleh saya katakan adalah berkaitan urusan menandatangani surat perjanjian. Ini perkara paling penting. Pastikan kita baca semua isi kandungan perjanjian terbabit sebelum tanda tangan. Sekiranya kita uas-uas, bawa bersama individu yang faham tentang perjanjian itu. Usah terus tanda tangan kerana itu memberi impak besar kalau kita tertipu,” katanya.
Menurutnya, ketika tempoh pandemik Covid-19, tidak mustahil penipuan sebegini akan berulang.
Penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar pula berpendapat harga terlalu murah antara modus operandi yang digunakan itulah yang menarik perhatian pembeli rumah.
"Jangan mudah terpedaya dengan harga yang terlalu murah dan berhati-hati dengan janji manis penipu. Jika kita hendak bayar deposit, pastikan ia dibayar pada syarikat pembinaan,” katanya.
Beliau turut berkongsi beberapa tip sebelum membuat pembelian rumah; antaranya dengan memastikan pihak pemaju mempunyai pejabat urusan yang kekal selain rekod serta nama syarikat berwibawa.
"Jika syarikat terbabit mempunyai rekod dan aduan, pembeli perlu berhati-hati. Selain itu, boleh juga buat semakan untuk mengenal pasti track record pemaju.
"Paling penting pastikan juga peguam yang dilantik itu adalah peguam yang ada nama syarikat guaman yang baik,” katanya.
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, terdapat beberapa kes penipuan jual beli rumah yang dikesan antaranya tawaran pembinaan di tanah berstatus samar sama ada tanah rizab, tanah simpanan.
Menurutnya, terdapat juga kes pemilik memajakkan tanah kepada individu lain bagi tempoh tertentu untuk pembinaan rumah sewa, namun selepas tempoh perjanjian pajakan tamat, individu itu sebenarnya tidak mempunyai hak walaupun membina kediaman di tanah terbabit.
"Ada juga situasi melibatkan penjual rumah tidak wujud. Modus operandinya adalah mengiklankan lot tanah yang dijual mengikut lot dengan memaparkan gambar kawasan dilapangkan selain lawatan di kawasan tersebut.
"Iklan ini akan mempengaruhi mangsa dan mangsa yang berminat akan membuat bayaran deposit sebelum suspek gagal dihubungi,” katanya.
Kamal Affandi berkata, pembelian rumah murah seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) juga perlu berwaspada kerana pemilikan rumah itu adalah bersyarat iaitu bagi golongan yang berpendapatan rendah.
"Pembeli yang melangkaui pendapatan ditetapkan adalah tidak benar jika boleh memiliki kerana dia mampu dari segi pendapatan. Ini kerana ia akan menimbulkan masalah ketika proses pertukaran nama yang menekankan syarat sedemikian,” katanya.
Pembeli, Adam Bukhari, 52, berhasrat untuk memiliki kediaman sendiri sejak dari zaman bujang sehingga sanggup mengeluarkan wang simpanan berjumlah RM50,000 semata-mata untuk membayar penuh harga rumah bina siap yang dijanjikan syarikat pemaju berkenaan.
"Harga rumah sekarang mahal, jadi bila ada rumah yang ditawarkan dengan harga mampu milik pasti menjadi pilihan. Tapi nampaknya harapan saya itu musnah kerana duit yang saya bayar itu masih belum dikembalikan,” katanya.
Menurutnya, beliau sudah mencuba pelbagai cara termasuk menghubungi pengurusan tertinggi syarikat berkenaan, namun panggilan tidak dilayan dan syarikat itu tidak mahu bertanggungjawab di atas kerugian yang ditanggung pembeli.
"Saya amat terkilan. Sepatutnya jika ada masalah, syarikat itu boleh berbincang. Kalau tak mampu bayar sekali gus, bayarlah secara berperingkat kepada kami. Ini langsung tak nampak batang hidung.
"Paling menyedihkan, ada beberapa pembeli sudah meninggal dunia. Tak rasa berdosakah mereka yang bertanggungjawab?” katanya.
Adam berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas bagi memastikan individu terbabit tidak dibiarkan terlepas.
Sementara itu, peguam yang mewakili pembeli, Kee Mohd Thariq berharap pihak defendan menghormati keputusan mahkamah yang tela memerintahkan beliau untuk memulangkan wang anak guamnya.
"Kami akan menggunakan kesemua kaedah undang-undang yang ada untuk melaksanakan perintah mahkamah. Kami tidak akan berehat selagi hak anak guam belum selesai,” katanya.
Dalam pada itu, usaha Sinar Harian menghubungi Boy Iman bagi mendapatkan maklum balas mengenai isu berkenaan tidak berhasil apabila panggilan telefon dan WhatsApp tidak berjawab.