Covid-19: Thailand catat kematian selepas lebih 100 hari

Iklan
Thailand merekodkan satu kes maut hari ini membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun yang kembali dari Arab Saudi. - Foto AFP

BANGKOK - Selepas lebih 100 hari sifar kematian akibat Covid-19, Thailand merekodkan satu kes maut hari ini - seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun yang kembali dari Arab Saudi awal bulan ini.

Ketika mengesahkan perkara itu pada sidang media di sini, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Dr Somsak Akksilp berkata, lelaki tersebut yang bertugas sebagai penterjemah di Kementerian Buruh di Riyadh dijangkiti Covid-19 pada Julai lalu dan dirawat di Hospital King Fahad di Riyadh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pesakit yang mempunyai gejala pneumonia itu bergantung pada bantuan pernafasan sejak 10 Ogos lalu dan keluarganya memohon dia dibawa balik ke Thailand.

Pesakit yang diuji negatif Covid-19 tiba di Bangkok pada 1 September dan terus dihantar ke sebuah hospital untuk menerima rawatan, katanya menambah keadaan pesakit bertambah buruk dan disahkan meninggal dunia tengah hari tadi, iaitu kematian ke-59 di Thailand.

Iklan

"Pesakit mempunyai sejarah perubatan menghidap diabetes, darah tinggi serta masalah kolestrol. Jangkitan Covid-19 memburukkan lagi keadaannya dan menyebabkan jangkitan dalam darah serta kegagalan pelbagai organ sementara x-ray menunjukkan paru-parunya rosak,” katanya.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif Covid-19 di Thailand sebanyak 3,497 kes dengan 59 kematian. - Bernama

Iklan