KOTA KINABALU - Syarikat penerbangan dicadangkan untuk memberi diskaun khas kepada rakyat Sabah di Semenanjung yang ingin pulang mengundi pada 26 September ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau faham dengan masalah ekonomi yang dihadapi ekoran penularan wabak wabak koronavirus (Covid-19).
"Kita mengambil cakna masalah yang dihadapi oleh rakyat Sabah yang berada di Semenanjung ingin pulang mengundi, jadi saya ingin mencadangkan kepada syarikat penerbangan untuk memberi diskaun khas kepada mereka ini kerana semangat patriotisme dan cintakan tanah air wajar ditunjukkan oleh syarikat penerbangan tanah air.
"Saya faham sekarang ini masalah Covid-19, masalah ekonomi tetapi untuk mereka yang nak balik mengundi, ambil kesempatan untuk balik undi di Sabah untuk melakukan tanggungjawab mereka sebagai pengundi di Sabah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menyeru supaya seluruh rakyat Sabah keluar mengundi.
"Ini kali ketiga saya berada di sini sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan sepanjang beberapa hari ini saya bertemu rakyat dan mendengar sendiri masalah mereka.
"Setelah 22 bulan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH) memerintah Sabah, telah banyak polisi yang berteraskan kepada kebajikan rakyat dilaksanakan, namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk membantu masyarakat di Sabah.
"Justeru, saya menyeru kepada semua seluruh rakyat Sabah untuk keluar mengundi pada 26 September dan buat pilihan yang tepat," katanya.
Sementara itu, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew berkata, seramai 5,966 orang direkodkan sebagai pengundi Sabah yang mahu balik ke Kota Kinabalu untuk mengundi.
"Setakat ini kita mendapat sumbangan kira-kira RM35,350 sahaja sekali gus hanya membolehkan 101 orang yang dapat balik untuk mengundi.
"Justeru, kita merayu lebih banyak lagi badan bukan kerajaan (NGO) atau penaja atau sesiapa yang dapat memberi sumbangan bagi membolehkan lebih 4,000 lagi individu untuk pulang mengundi,” katanya.