KULIM - Seorang anak sanggup mengugut untuk membunuh ibunya jika tidak memberikan wang sebanyak RM80 seperti yang dimintanya di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota, dekat sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, dalam kejadian jam 10 malam itu wanita berusia 53 tahun enggan menuruti kehendak anaknya yang berusia 23 tahun.
Menurutnya, bimbang dengan keselamatan dirinya, wanita tersebut telah bertindak melarikan diri ke rumah jirannya dan membuat laporan di Balai Polis Kulim.
"Dalam kejadian itu suspek telah bertindak mengacukan pisau ke arah ibunya dan mengugut untuk bunuh ibunya. Suspek juga telah merosakkan pintu bilik utama, peti sejuk dan mesin basuh.
"Wanita berkenaan yang ketakutan bertindak melarikan diri dari rumah dan tinggal di rumah jirannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azhar berkata, bertindak atas laporan, polis telah menahan suspek di rumah mereka kira-kira jam 10.30 malam semalam.
Menurutnya, suspek yang tidak bekerja dan memiliki pelbagai rekod jenayah lampau itu juga didapati positif dadah jenis morphine.
"Polis turut merampas satu plastik lut sinar mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin anggaran berat lebih kurang 0.60 gram dan sebilah pisau ukuran panjang lebih kurang 23 sentimeter.
"Siasatan lanjut akan dibuat selepas prosiding reman dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan," katanya.