MIKEL Arteta mengakui lega apabila Pierre-Emerick Aubameyang akhirnya menandatangani perjanjian tiga tahun bersama kelab utara London walaupun penyerang sensasi The Gunners itu dirisik gergasi Eropah berpangkalan di Nou Camp dan San Siro.
Menurut pengurus berusia 38 tahun itu, persoalan masa depan bekas penyerang Borussia Dortmund berkenaan di Emirates sebelum ini ternyata memberi impak negatif kepada juara Piala FA dan Perisai Komuniti tersebut.
"Sejujurnya desas-desus bahawa Aubameyang akan meninggalkan Arsenal apabila kontraknya berakhir musim ini memberi kesan negatif kepada - pemain-pemain lain.
"Apatah lagi tawaran untuk mendapatkan Aubameyang pula datangnya dari kelab gergasi Eropah seperti Barcelona dan Inter Milan.
"Tapi akhirnya saya sangat gembira apabila berjaya meyakinkan Aubameyang untuk kekal berjuang bersama Arsenal sekali gus bukti bahawa atmosfera kelab ini setanding Barcelona dan Inter," kata bekas penolong Pep Guardiola di Manchester City itu sebelum ini.
Kapten The Gunners itu menamatkan spekulasi mengenai masa depannya bersama Arsenal apabila menandatangani kontrak baharu selama tiga tahun dengan keazaman untuk sebaris dengan legenda kelab sebelum ini.
Pada masa sama bekas pemain Arsenal kelahiran Sepanyol itu menyifatkan keputusan penyerang Gabon tersebut menyambung kontrak membarakan semangat pemain The Gunners lain.
"Dengan semangat dan tekad ditunjukkan Aubameyang untuk kekal di Emirates, ia menyuntik semangat semua orang di Colney termasuk juga penyokong kami.
"Saya yakin kesediaan Aubameyang adalah kerana dia gembira bekerja dengan keluarga besar Arsenal. Kami benar-benar jelas antara satu sama lain apa yang kami cuba lakukan.
"Aubameyang adalah sebahagian besar rancangan saya dari segi cara dia berlatih, sikap dan juga berprestasi. Saya mahu dia melakukannya lagi secara konsisten," katanya.