Aguero kena rehat dua bulan lagi

Iklan
AGUERO

PENYERANG Manchester City, Sergio Aguero mungkin terpaksa berehat lebih lama selepas kecederaan lutut yang dialami belum pulih sepenuhnya.

Perkara itu disahkan pengendali The Citizen, Pep Guardiola yang memberikan bayangan penyerang Argentina itu mungkin terpaksa berehat sekurang-kurangnya dua bulan lagi.

Iklan
Iklan

"Kami sedar kecederaan yang dihadapinya rumit. Dia sedang dalam proses pemulihan, mungkin dalam satu atau dua bulan lagi dia akan bersedia.

"Dua bulan lagi, dia harus kembali ke padang melakukan ujian dan kami akan menilai kembali tahap kecederaannya. Jika telah pulih, dia perlu mendapatkan semula tahap stamina dan fizikalnya seperti sebelum ini.

Iklan

"Aguero sudah lama tersisih dan dia bukan seorang pemain yang mampu pulih dengan segera, jadi saya fikir dalam satu atau dua bulan lagi barulah dia akan bersedia," katanya.

Aguero mengalami kecederaan pada Jun lalu ketika City mencatatkan kemenangan 5-0 ke atas Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Iklan

Pemain berusia 32 tahun itu telah pun menjalani pembedahan di Barcelona dan dalam proses penyembuhan sebelum boleh kembali bermain.

Jangka masa yang digariskan oleh Guardiola itu bererti Aguero bakal terlepas tiga perlawanan pertama Liga Juara-Juara musim ini termasuk kunjungan Liverpool ke Stadium Etihad pada 7 November depan.

Pemain kelahiran Argentina itu menjadi mesin gol buat City sejak berpindah ke kelab itu pada 2011 dan telah menjaringkan 180 gol daripada 263 penampilan.