SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengulangi sokongan beliau terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi kerajaan Persekutuan.
Menerusi wawancara bersama Free Malaysia Today, beliau menjelaskan bahawa Anwar dan Mohd Shafie tetap menjadi pilihannya untuk menjawat jawatan tersebut.
Beliau berkata, ahli PH termasuk ahli Parlimen daripada gabungan parti itu yakin dengan kemampuan salah seorang calon bagi meraih sokongan bagi membentuk kerajaan.
"Kami menyokong Anwar untuk mendapat jumlah itu, tetapi jika beliau tidak mampu, kami perlu memberi Shafie peluang dan penghormatan sewajarnya kepada Perdana Menteri pertama dari Malaysia Timur," katanya semalam.
Guan Eng turut berkongsi pengalaman bertugas dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyifatkan beliau sebagai seorang yang tegas dalam sesuatu isu dan sedia mendengar pandangan daripada menteri Kabinet.
"Beliau memberi peluang kepada semua orang untuk bersuara sebelum memberikan pandangannya. Kemudian Kabinet akan membuat keputusan. Sudah tentu pada kebanyakan masa beliau akan meyakinkan ahli Kabinet untuk bersetuju dengannya," katanya.
Menurutnya, bekas Perdana Menteri itu juga mempunyai pendirian yang kuat berhubung hutang dan tunggakan negara dan meminta agar ia dikurangkan.
"Kami berjaya mengurangkan hutang daripada segi peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Tetapi dengan keadaan Covid-19 ketika ini, kita tiada pilihan kecuali menambah hutang kerana sedang menghadapi krisis ekonomi.
"Dr Mahathir juga merasakan kita perlu menggalakkan rakyat bekerja dan tidak menyalurkan pemberian percuma kepada mereka. Bagaimanapun, kami berkata kami bukan hanya perlu mengajar rakyat cara menangkap ikan, tetapi juga memberi mereka makan supaya mereka boleh berdikari kemudian," katanya.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Dr Mahathir pernah menolak idea pemansuhan tol lebuh raya tetapi kemudian bersetuju mengurangkan secara berperingkat bermula dengan diskaun sebanyak 18 peratus ke atas kadar tol bagi semua Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Menyentuh soal masa depannya dalam DAP, beliau menjelaskan bahawa bersedia menggalas sebarang peranan baharu yang diberikan.
Menurutnya, DAP merupakan parti berintegriti kerana tiada seorang pun daripada 42 ahli Parlimen daripada parti itu yang dipilih pada 2018 melompat dan menyertai parti lain.
"Malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah menyatakan rasa kagum dan memberitahu bahawa parti anda sangat stabil. Tiada seorang pun ahli Parlimen lompat parti," katanya.