PSSGM bakal miliki muzium persilatan

Iklan
Siti Fadzilah (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada Tengku Kamarulzaman (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Mohd Haniff (tengah) selepas Majlis Penganugerahan Sandang Kebesaran PSSGM di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM) bakal menjadikan kediaman pengasas pertubuhan seni silat itu, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Uda Mohd Hashim sebagai muzium persilatan tidak lama lagi.

Yang Dipertua PSSGM, Mohd Haniff Koslan berkata, usaha itu sekali gus bakal menyaksikan PSSGM memiliki muzium persilatan mereka sendiri selepas kediaman milik Meor Abdul Rahman di Taiping, Perak itu dibaik pulih sepenuhnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan itu juga telah mendapat persetujuan daripada ahli keluarga Meor Abdul Rahman termasuk Siti Fadzilah yang juga waris kepada seni persilatan tersebut.

"Kita jangkakan kerja-kerja mengubah suai kediaman itu akan bermula penghujung tahun ini melibatkan kos sekitar RM350,000 ke RM400,000.

Iklan

"Malah peralatan persilatan yang pernah digunakan oleh Allahyarham Meor Abdul Rahman seperti keris lembing dan sebagainya akan turut dipamerkan muzium ini nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Sandang Kebesaran PSSGM kepada 21 penerima yang disempurnakan oleh Siti Fadzilah di Pusat Sains Negara di sini hari ini.

Turut menerima penganugerahan tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya Kehormat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Tengku Datuk Seri Kamarulzaman Al-Haj Sultan Abu Bakar bagi anugerah Seri Mahkota Bintang Pelangi (Timbalan Imam Khalifah) bagi negeri Pahang.

Iklan

Sementara itu, Tengku Kamarulzaman berkata, beliau komited untuk memperkembangkan lagi seni silat gayong di Pahang dengan menarik keahlian sekali ganda berbanding lebih 1,000 ahli ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau berharap akan mendapat kerjasama daripada semua pihak termasuk kerajaan negeri dan badan korporat dalam menyediakan prasarana termasuk gelanggang latihan di daerah yang mempunyai keahlian PSSGM.